Elizad juara Gempak Superstar


Elizad tengah setelah diumumkan sebagai juara Gempak Superstar.

SELEPAS enam minggu berentap, pelakon Elizad Sharifuddin dinobatkan sebagai juara sulung program realiti, Gempak Superstar, malam ini.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Sharifuddin membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi.

"Pertama kali, terima kasih pada suami dan bapa saya. Kemenangan ini adalah untuk emak saya. Terima kasih semua," katanya ketika berucap atas kemenangannya itu.

Tempat kedua dimenangi aktres, Sherry Ibrahim yang membawa pulang wang tunai RM25,000 dan trofi manakala tempat ketiga pula disandang oleh Arja Lee yang melayakkannya menerima wang tunai RM15,000 beserta trofi.

Bagi tempat keempat, ia menjadi milik pelakon, Soffi Jikan. Soffi membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Pelakon Nazim Othman pula terpaksa berpuas hati di tempat terakhir dan memenangi wang tunai RM5,000 serta trofi.

Pada masa sama, Sherry turut menerima Anugerah Terlajak Gempak Superstar D'Herbs.

Semua hadiah disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad.

Gempak Superstar diadili oleh dua juri tetap iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Amy Mastura serta pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam yang bertindak sebagai juri jemputan sekali gus mewakili 50 peratus pemarkahan manakala bakinya menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Terdahulu, setiap finalis dikehendaki mempersembahkan dua lagu secara solo dalam dua pusingan berbeza berdasarkan dua genre yang berbeza.

Program malam ini turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan seperti Azlan & The Typewriter, Projector Band dan Amy Search.

Gempak Superstar yang diacarakan oleh dua pelakon popular, Scha Al Yahya dan Sharnaaz Ahmad itu, dipancarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), Astro Ria HD(saluran 123), Astro Prima (saluran 105) dan Astro Maya HD (saluran 135) dari Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

Post a Comment

Previous Post Next Post