Dayang Nurfaizah Naif soal lelaki


ANDAI dihitung tempoh naratif biduanita ini mencipta nama dalam industri seni, tidak keterlaluan menyifatkan Dayang Nurfaizah sudah boleh diklasifikasikan sebagai satu jenama.

Usai melengkapkan pesona selaku penghibur hampir dua dasawarsa, karier pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 35, itu juga seolah-olah jernih seperti lutsinar lantaran jarang dipalit daki-daki negatif.

“Alhamdulillah, sudah 17 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini. Jadi, saya tidak mahu benda-benda kecil dan remeh menjejaskan apa yang saya bina selama bertahun-tahun lamanya,” ujarnya kepada Sensasi Bintang dalam satu pertemuan yang diatur oleh Indigital Sdn. Bhd. pada Khamis lepas.

Waima seakan-akan selesa berada dalam liganya yang tersendiri, itu bukan alasan buat Dayang memahat satu penghadang eksklusif baik buat peminat mahupun permata baharu dalam industri hiburan tanah air.

“Terserah kepada mana-mana selebriti untuk menentukan nilai eksklusif itu, cuma saya selesa menjadi diri sendiri.

“Selagi tidak menjejaskan kerjaya, tidak salah rasanya termasuk makan di medan selera.

“Apa yang paling utama, saya perlu bijak menyusun perjalanan karier, selain mencari keseimbangan dalam hidup,” ujarnya menguntum senyum.

Getus Dayang, tidak adil untuk terus menghukum pendatang baharu sebagai individu yang tidak berbakat di sebalik populariti menggunung dalam kalangan peminat.

“Sebagai penyanyi, saya mempertaruhkan pengalaman untuk memastikan setiap naskhah istimewa. Suatu masa dahulu, saya juga ada kekurangan ketika menyanyi dan tidak pernah berhenti belajar sehingga sekarang.

“Berilah mereka peluang kerana saya percaya dengan pengalaman, ia akan matang sendiri. Yang penting harus berbakat dan perlu memahami lagu, barulah diri lebih difahami peminat,” ungkapnya penuh makna.


DAYANG menolak kemungkinan meneroka bidang lakonan kerana tidak mampu menjiwai karakter berbeza.

Tidak reti bercinta

Bakal menginjak usia 35 tahun pada 20 Julai depan, pastinya soalan klise seperti soal jodoh terpaksa dihadam oleh Dayang tahun demi tahun.

Cuma buat gadis kelahiran Kuching, Sarawak itu, tekanan tidak pernah terbit daripada keluarganya meskipun dia merupakan satu-satunya yang belum mendirikan rumah tangga.

“Setiap wanita pastinya mengimpikan rumah tangga dan ada anak, namun saya percaya itu semua jodoh dan akan datang sendiri apabila tiba masanya.

“Buat masa sekarang, saya fokus dengan karier dan keluarga namun jika jodoh tiba-tiba datang, apa salahnya,” ujar anak ketiga daripada empat adik-beradik itu.

Tanpa berselindung, Dayang mengakui dirinya cukup naif berhubung soal ini lantaran cukup pendiam sejak zaman sekolah.

“Soal sama ada ada lelaki cuba mendekati ataupun tidak, sejujurnya saya tidak perasan semua itu.

“Jika mahu, datang dan beritahu saya kerana mahu mengharapkan saya memulakannya, memang tidak tahu sampai bila,” ungkapnya melentur tawa di bibir.

Tidak hairanlah, Dayang mengambil masa untuk menjiwai single terbaharunya, Lelaki Teragung dijangka menembusi halwa telinga peminat dalam masa terdekat.

“Saya memang tidak reti dan tiada pengalaman bercinta termasuk cinta monyet dan sebagainya,” jelasnya jujur.


KESEIMBANGAN hidup sentiasa menjadi keutamaan Dayang sejak dahulu.

Lelaki Teragung

Mengulas lanjut mengenai lagu Lelaki Teragung, Dayang menjelaskan, dia sekali lagi bekerjasama dengan penulis lirik berbakat iaitu Iman Imran dalam single yang dicipta oleh seorang komposer baharu itu iaitu Tasha.

“Ia mengisahkan seorang wanita yang tidak mencintai lelaki seperti mana perasaan lelaki itu terhadapnya.

“Saya tidak pernah melalui semua itu, jadi terpulang kepada interpretasi peminat terhadap single berkenaan,” ceritanya lagi.

Pada masa sama, jelas Dayang, dia juga sedang sibuk merakamkan lagu-lagu lain untuk album terbaharunya selepas ini.

“Saya masih belum buat keputusan sama ada memuatkan lapan atau 10 lagu dalam album berkenaan, cuma besar kemungkinan 80 peratus daripadanya bergenre balada.

“Sekarang bukan lagi macam dahulu, sebab itu mengambil masa dalam pemilihan lagu supaya kesemuanya merupakan single terbaik,” jelasnya.

Sengaja ditebak bagaimana figura ini menjaga mutu suaranya yang sudah boleh diiktiraf sebagai antara vokal terbaik di negara ini, Dayang cuma tertawa.

“Sebenarnya saya belasah saja, tambahan pula memang kurang menjamah makanan pedas sejak dahulu.

“Cuma sekarang, saya mula mengurangkan pengambilan ais atas pesanan penyanyi senior seperti Nassier Wahab.

“Apa salahnya mencuba, bagi saya nyanyian juga seperti latihan dan perlu diamalkan setiap hari,” katanya yang bagaimanapun menolak kemungkinan untuk menjadi pelakon kerana tidak mampu menjiwai karakter berbeza.

Keperihalan peribadi

Tatkala menyentuh mengenai keperibadiannya yang tidak diketahui umum, pelantun lagu Ke Pintu Syurga itu menjelaskan dia tidak boleh hidup tanpa maskara.

“Saya memang cukup suka maskara, tidak tahu mengapa dan tidak boleh hidup tanpanya. Memang cukup risau jika tiada maskara, tidak memiliki solekan lain pun tidak mengapa,” jelasnya.

Selain tidak pernah memiliki cermin mata hitam meskipun rabun sebelum ini, Dayang juga tidak suka menjamah makanan yang bercampur-campur lauk seperti nasi kandar serta tidak suka makan taugeh.

“Saya juga tidak gemar menjamah hidangan yang sudah sejuk, jadi saya sanggup menutup pendingin hawa. Berpeluh-peluh ketika makan pun tidak mengapa,” ujarnya tertawa.

Sebelum menutup bicara, sengaja mengajak figura ini memikirkan siapa dirinya sekiranya tidak bergelar penyanyi dan ini jawapan jujur Dayang.

“Saya mula menyanyi ketika berusia 12 tahun. Semasa memasuki pertandingan pertama, ia bukan kemahuan saya. Ada jiran bernama Mak Kiah mendaftarkan nama saya dalam diam-diam tanpa pengetahuan saya kerana gugup di atas pentas, pertandingan seterusnya juga memakan masa selama tiga tahun sebelum kembali bertanding.

“Pertemuan bersama Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan selepas itu merubah kehidupan saya secara total. Sejujurnya, saya tidak tahu siapa saya seandainya tidak bergelar penyanyi,” ujarnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post