Bella Nazari bangkit


SENGGANG masa 10 tahun bukanlah satu tempoh singkat. Namun, itulah masa yang harus dilalui oleh penyanyi dan pelakon baharu, Mas Nabilla Nazari yang terpaksa memendamkan impian untuk bergelar anak seni demi memenuhi permintaan ibu.

Benar, nama pentas Bella Nazari masih kedengaran asing dalam industri tetapi bagi peminat yang mengikuti rancangan pertandingan realiti nyanyian Mentor seawal musim pertama pasti boleh mengingati kehadiran wanita berusia 29 tahun ini.

Hakikatnya, dia pernah menjadi protege kepada ratu irama tradisional, Noraniza Idris. Namun, rezeki tidak menyebelahi dirinya, Bella cuma tersenarai sehingga finalis kelapan sahaja.

Selepas sedekad menyepi, ternyata perkara itu bukan faktor untuk Bella memadamkan terus cita-citanya. Bermula dengan nyanyian, kini dia mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan pula. Terbaharu, Bella memegang watak Idayu dalam drama Duda Terlajak Laris yang sedang ditayangkan di TV3.

“Selepas keluar daripada rancangan Mentor, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor. Selepas itu, ibu minta saya bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat.

“Terus terang dikatakan, selama hampir lima tahun menjadi setiausaha, saya tidak berapa berminat dengan pekerjaan tersebut. Saya cuba meyakinkan ibu dan ayah tentang minat dan impian saya, akhirnya mereka merestui,” katanya memulakan bicara dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Melanjut bicara, wanita kelahiran Kangar, Perlis itu memberitahu, kepuasan amat dirasai saat dia mula disunting beberapa pengarah drama tanah air.

Bagi Bella, biarpun hanya memegang watak kecil, namun sebagai pendatang baharu, dia banyak mendapatkan tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain. Malah, cabaran tetap dirasakan lebih-lebih lagi apabila diminta membawa watak antagonois.

“Bermula tahun 2014, saya sudah mula membiasakan diri di hadapan kamera dengan memegang watak ekstra dalam drama Tabir Zulaika dan Gerak Khas. Selepas itu, pada tahun 2015 pula saya memegang watak Tengku Amalin dalam drama Hati Perempuan dan terkini watak Idayu dalam drama Duda Terlajak Laris.


BIARPUN namanya kini mekar sebagai pelakon drama, Bella tetap mengutamakan bidang nyanyian.

“Walaupun bukan memegang watak utama, namun saya tetap merasai cabaran apabila kebanyakan watak yang ditawarkan bersifat antagonis dan adakalanya perlu menangis,” ujarnya mesra.

Utamakan nyanyian

Melihat pada kerja lakonan yang semakin diterima, bila ditanya tentang keutamaannya lebih kepada bidang nyanyian atau lakonan, dengan yakin wanita itu menjawab lebih mengutamakan nyanyian kerana minat yang mendalam sejak berumur 12 tahun.

Bagaimanapun, dia tidak menolak sekiranya bintangnya lebih menyinar dalam dunia lakonan.

Malah, tidak mahu mempersiakan peluang dengan kemunculan semula kali ini, Bella turut mengambil kelas vokal yang dikendalikan Cikgu Shafie bermula awal tahun lalu. Jelasnya, kelas tersebut sebagai persediaan untuk menjadi penyanyi yang berbakat.

Ternyata, usaha Bella berbaloi apabila mendapat dua buah lagu berjudul Sahara dan Infiniti yang merupakan lagu ciptaan komposer Omar K. Lebih membanggakan, lagu Infiniti itu kini sedang hangat diputarkan di stesen radio tempatan.

“Alhamdulillah, lagu Infiniti baru dilancarkan pada bulan Februari lepas dan kini sedang dimainkan di stesen radio. Saya sangat teruja dengan lagu genre balada pop ini kerana ia boleh dianggap sebagai lagu motivasi juga,” jelasnya yang berazam ingin bekerja keras dalam mencipta nama dengan kebangkitan baharu ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post