MELAKAR dua mimpi berbeza dalam satu laluan yang sama mungkin kedengaran agak sukar bagi sesetengah individu. Apatah lagi, jika kedua-dua mimpi tersebut menuntut komitmen masa dan fokus sepenuh hati agar apa yang dirancang dapat disempurnakan tanpa masalah.
Bagi Kaka Azraff, selain mengukir nama sebagai penyanyi dalam bidang muzik, impian untuk bergelar ahli perniagaan dan memasarkan wangian berjenama sendiri menjadi impian yang sudah berputik dalam kotak fikirannya, sekitar setahun lalu.
Dahulu dia hanya berangan-angan, sekadar mengimpikan jenama minyak wangi sendiri yang diilhamkan daripada wangian kegemaran mendapat sambutan dalam kalangan peminat.
Sehinggalah pada suatu hari, pertemuan pelakon Kuna Muzani membentang jalan yang akhirnya membantu pelantun lagu Bukan Hal Aku itu merealisasikan impiannya mengeluarkan wangian jenama sendiri, Kreiz.
“Kami bertemu sewaktu membintangi drama bersiri Plan Cinta Tak Jadi. Ketika itu, saya memberitahu Kuna mengenai hasrat mahu mengeluarkan wangian jenama sendiri.
“Kebetulan, dia kenal dengan pengeluar yang boleh membantu untuk mencipta bauan yang saya inginkan. Bermula daripada situ, proses untuk mengeluarkan produk wangian bermula,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kreiz di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Menurut pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu, proses membangunkan wangian yang diinspirasikan daripada haruman bunga orkid dan buah delima tersebut hanya memakan masa selama enam bulan.
Berbunyi mudah, namun Kaka mengakui cerewet dalam soal menentukan ketepatan bau dan hasil akhir produk wangian sulungnya tersebut.
“Proses penghasilan Kreiz bermula sekitar bulan September tahun lalu dan sepanjang proses tersebut, saya terlibat secara langsung untuk memilih bau akhir Kreiz.
“Empat kali saya menolak bauan yang dicadangkan sehinggalah satu campuran akhir yang benar-benar kena dengan cita rasa saya diperoleh,” jelas Kaka yang memasarkan Kreiz menerusi stokis-stokis sah di seluruh negara.
Ditanya tentang kegusarannya mengenai persaingan dengan jenama wangian sedia ada di pasaran, Kaka menjawab: “Jika perasaan takut terus dibiarkan menguasai diri, sampai bila-bila pun impian tidak akan tercapai.”
Muzik
Beralih mengenai perkembangan karier nyanyiannya, Kaka berkata, selain sibuk memenuhi undangan nyanyian, dia juga bakal muncul dengan single terbaharu menjelang Mei nanti.
“Apa yang boleh saya kongsikan, single tersebut berentak agak perlahan dan tidak menampilkan gandingan vokal daripada penyanyi jemputan,” ujar Kaka lagi.
Biarpun dilihat kerap mengeluarkan single, namun wanita berusia 27 tahun itu tetap menyimpan hasrat untuk menzahirkan sebuah album penuh suatu hari nanti.
“Album boleh diibaratkan sebagai pasport untuk penyanyi. Apa yang terkandung di dalam album akan mewakili perjalanan seni seseorang penyanyi sebagai penghibur.
“Album yang baik perlulah mempunyai karya berkualiti agar memberi kepuasan kepada peminat. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, album mini pertama saya akan dilancarkan pada penghujung tahun nanti,” ujar Kaka.
PRODUK SULUNG - Kaka memilih minyak wangi sebagai produk sulungnya untuk menceburi bidang perniagaan kerana hasrat tersebut sudah lebih setahun terpendam dalam hati.
Melihat atmosfera penjualan dan pemasaran muzik masa kini, Kaka masih menyimpan kepercayaan terhadap penerbitan album fizikal dan mahu melihat albumnya diterbitkan dalam bentuk cakera padat (CD).
“Memang penjualan muzik secara digital lebih menguntungkan, tetapi saya mahu muzik saya diabadikan dalam bentuk CD.
“Laku atau tidak, bukan soalnya asalkan saya ada memori dengan karya-karya yang pernah dihasilkan,” ujar Kaka dalam nada berseloroh.
Lakonan
Menyelak portfolio seni anak buah penyanyi Ella itu, terselit juga beberapa naskhah yang menampilkan kelibatnya sebagai pelakon.
Sebelum membintangi drama Plan Cinta Tak Jadi, Kaka pernah diberi kepercayaan memegang watak Norelle dalam drama bersiri Dunia Generasi Baru pada tahun lalu.
Selain itu, filem perdananya, 7 Dimensi Aliff yang dilakonkan bersama Izzue Islam, Aliff Satar dan Juliana Evans kini sedang menanti tarikh tayangan.
Biarpun dilihat aktif berlakon, Kaka tetap mengutamakan bidang nyanyian. Tuturnya, dia tidak mahu berlebih-lebihan dalam semua perkara sehingga kelihatan sebagai seorang individu yang tamak.
“Saya bermula sebagai penyanyi, bukannya pelakon. Jadi, kurang molek jika mengambil tawaran nyanyian dan lakonan dalam masa yang sama.
“Biarlah saya terus menyanyi. Jika ada tawaran berlakon dan tidak membebankan atau mengganggu jadual nyanyian, mungkin saya akan pertimbangkan,” katanya lagi.
Hati-hati
Suatu ketika dahulu, Kaka terpalit isu perang dingin dengan beberapa rakan artis. Sudah lebih setahun berlalu, namun kisah yang mengaitkan dirinya sebagai perampas kekasih seorang dramatis wanita popular dahulu tetap basah di bibir peminat.
Namun, tidak seperti mulut tempayan, mulut manusia sukar ditutup, mana mungkin Kaka dapat menghentikan cakap-cakap negatif orang tentang dirinya.
Apa yang boleh dilakukan adalah menjauhkan diri daripada mudah terjebak dengan anasir sebegitu.
“Saya berdoa supaya pihak yang gemar menuduh itu lembut hati dan berhenti bercakap buruk mengenai saya,” ujar Kaka positif.
Melihat situasi pernah dipulaukan sekumpulan rakan baik suatu ketika dahulu, wanita berusia,. wanita 27 tahun itu mahu berhati-hati dalam berkawan.
“Biarlah tidak ramai kawan asalkan saya kenal mereka secara peribadi,” ujarnya menutup bicara.