Nubhan, Firman sedia tarik laporan polis



Nubhan Ahmad (kanan) dan Firman Bansir (kiri) mengadakan sidang media berhubung penipuan pakej umrah yang mereka hadapi baru-baru ini sebelum berlepas ke tanah suci bagi mengerjakan umrah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

PENYANYI, Nubhan Ahmad dan Firman Bansir sedia menarik balik laporan polis terhadap syarikat pelancongan yang dikatakan terbabit dalam penipuan pakej mengerjakan umrah.

Nubhan, 30, dan Firman, 27, kedua-duanya bintang kelahiran program realiti televisyen Akademi Fantasia berkata mereka sedia 'berdamai' selepas ada pihak yang dipercayai terlibat dalam penipuan itu tampil memohon maaf.

"Buat masa ini kami hanya menunggu kata sepakat anggota jemaah yang lain dan jika semua sepakat menarik balik aduan, saya dan Firman akan ikut.

"Kami tidak mahu perkara ini berpanjangan," kata Nubhan.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, Nubhan berkata laporan polis dibuat ke atas Tiram Travel kerana hanya nama syarikat itu yang dikaitkan dengan pengurusan pakej umrah yang mereka ambil, apatah lagi semua urusan seperti penyediaan bag, kursus dan segala informasi juga berkait dengan agensi tersebut.



"Setelah gagal berlepas ke Mekah pada 1 April lepas, penipuan itu mula terbongkar apabila pihak Tiram Travel tampil membuat laporan polis menafikan mereka menawarkan pakej tersebut berikutan laporan polis yang kami buat.

"Hasil perbincangan, kami berpendapat Tiram Travel tidak terlibat dalam penipuan tersebut, malah syarikat itu seperti juga kami menjadi mangsa muslihat pihak ketiga untuk meraih keuntungan dengan menawarkan pakej umrah menggunakan nama agensi itu," katanya.

Minggu lalu, Firman menerusi laman Instagram miliknya mendakwa, syarikat Tiram Travel menipu beliau, Nubhan dan 55 jemaah lain, termasuk ibu bapa dan adiknya yang sepatutnya dijadualkan berangkat ke Makkah pada Jumaat lalu, jam 8.45 malam.

Bagaimanapun, sejurus tiba di kaunter pendaftaran di KLIA, nama mereka tiada dalam senarai penerbangan, mengakibatkan juara Akademi Fantasia 2014 itu mengalami kerugian hampir RM20,000 manakala Nubhan yang membawa 12 anggota keluarganya pula kerugian sekitar RM50,000.

Dalam pada itu, Nubhan dan Firman merakamkan penghargaan kepada wakil Tiram Travel yang tampil membantu menyelesaikan masalah tersebut, malah turut menawarkan perkhidmatan bagi menyempurnakan impian kedua-dua penyanyi itu membawa anggota keluarga ke Tanah Suci.

"Alhamdulillah, selepas dua kali gagal membawa keluarga ke Tanah Suci ekoran ditipu ejen umrah, kami akhirnya akan berlepas ke Mekah pada pukul tiga petang ini.

"Ini atas pertolongan Tiram Travel dan seorang individu yang sedia membayar kos bagi semua 37 jemaah terlibat dalam penerbangan kali ini," kata Firman.

Menurut laporan akhbar, seorang ejen pelancongan wanita ditahan Sabtu lepas di KLIA bagi membantu siasatan kes tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post