GARY KANG
Dalam program Running Man yang ditayangkan pada 10 April lepas, Gary berkongsi pengalaman menghadiri uji bakat untuk kumpulan terkenal sekitar 1990-an iaitu H.O.T dianggotai oleh Moon Hee-joon, Jang Woo-hyuk, Tony An, Kangta dan Lee Jae-won.
Cerita silam Gary yang dibangkitkan dalam program tersebut mengejutkan ramai peminatnya.
“Tahu atau tidak, Gary sebenarnya hampir menjadi anggota kumpulan H.O.T. Dia mungkin boleh ambil posisi Kangta,” kata Haha sambil ketawa panjang.
Gary yang bakatnya dicungkil oleh SM Entertainment membuka cerita: “Saya malu untuk cerita tentang perkara itu. Ya, memang saya ada menghadiri uji bakat untuk menjadi ahli kumpulan H.O.T suatu ketika dulu.”
Sejarah kerjaya Gary bermula apabila dia menyertai pertandingan tarian yang turut disertai oleh anggota H.O.T iaitu Moon Hee-joon dan Jang Woo-hyuk. Ketiga-tiga mereka telah menarik perhatian pencari bakat daripada SM Entertainment. Mereka bertiga ditawarkan kontrak selepas berjaya dalam uji bakat.
Namun, tidak diketahui sebabnya, Gary telah menolak tawaran berkenaan dan menyambung pelajaran di Yong In University sebelum muncul dengan kumpulan Leessang pada 2002.