Ravi Alagendrran
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rayani Air Ravi Alagendrran telah membidas kakitangan yang mengumumkan rancangan untuk merampas kuasanya dalam syarikat itu, mencadangkan supaya mereka 'memulakan syarikat penerbangan sendiri jika mereka begitu bijak'.
Walau bagaimanapun, beliau yang didakwa tidak membayar tunggakan gaji 400 kakitangannya dan tidak memotong wang Kumpulan Wang Simpanan Majikan (KWSP) akan memastikan pekerja-pekerjanya akan mendapat wang mereka, mendakwa beliau telah memuktamadkan perjanjian dengan pelabur untuk menjual 51 peratus pegangan saham dalam syarikat penerbangan itu.
"Ya, saya akan bayar mereka. Saya mempunyai pelabur-pelabur. Tengoklah mereka (pekerja), anda fikir mereka boleh bawa masuk pelabur?.
"Mereka terlalu mengikut emosi mereka seperti budak-budak," kata Ravi kepada The Star dalam satu temu bual telefon, sambil menambah beliau merancang untuk memberhentikan separuh daripada tenaga kerjanya.
"Saya akan buang semua orang-orang ini," tambah Ravi, berang.
Beliau menyalahkan mogok pekerjanya yang akan menjauhkan pelabur dan meletakkan syarikat penerbangan itu dalam masalah kewangan.
Pada Jumaat, kakitangan dari bahagian operasi dan kejuruteraan Rayani Air mengumumkan bahawa mereka sedang dalam perbincangan dengan beberapa pelabur untuk membeli majoriti saham dalam syarikat penerbangan itu daripada Ravi, mengatakan bahawa mereka tidak mahu CEO itu menerajui syarikat itu lagi.
Mereka juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ravi dan isterinya, Datuk Karthiyani Govindan jika gaji mereka bagi bulan Mac tidak dibayar dan KWSP tidak dipotong.
Bantahan itu diketuai oleh Pengurus Operasi Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Zulkalnain Azdan yang juga menuduh Ravi tidak mempunyai pengalaman penerbangan dan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap kakitangan.
Sebagai tindak balas, Ravi mendakwa pengurus stesen itu pada asalnya diupah sebagai pencuci pesawatnya, tetapi dia telah dipaksa untuk menaikkan pangkat Zulkalnain kepada pengurus stesen oleh kakitangan atas sebab tertentu.
Rayani Air yang memulakan operasi sejak Disember lalu adalah syarikat penerbangan yang pertama di Malaysia beroperasi berlandaskan patuh syariah.
Pada 11 April, Jabatan Penerbangan Awam telah mengeluarkan arahan pergantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga bulan selepas syarikat itu berdepan banyak aduan dan menggantung sendiri operasinya untuk penstrukturan semula.