Zoey Rahman Saya bukan syok sendiri

Pelakon dan pengacara Zoey Rahman mengakui tidak tahu-menahu mengenai urusan kelulusan kewangan syarikat bagi pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dihadiahkan kepadanya sempena ulang tahun kelahiran ke-36, baru-baru ini. 

Zoey berkata, perkara itu hanya disedari selepas adiknya, Haziqzuddin Abdul Rahman yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat Mika Series meluluskan pembelian kenderaan itu.

"Mula-mula saya marah dia sebab keluarkan wang syarikat. Saya tanya kenapa luluskan wang yang sebegitu banyak sedangkan kita nak pakai wang untuk promosi jualan tahun ini termasuk menaikkan papan iklan.

"Bagaimanapun, dia menjelaskan kenderaan itu untuk kegunaan syarikat juga. Lagipun, dia beritahu sampai bila nak sewa van apabila ingin bergerak untuk ke tapak acara. Ia untuk kemudahan pekerja juga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Palut's Superhero di Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini. 

Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Palut's Food Sdn Bhd, Ridzuan Ansar.

Terdahulu, tular mengenai hadiah kereta yang dianggarkan berharga lebih RM300,000 itu apabila ada netizen mendakwa Zoey syok sendiri demi meraih publisiti murahan. 

Tenang menjawab persoalan itu, Zoey berkata, dia enggan mengambil pusing komen-komen negatif yang cuba dilontarkan netizen. 

"Dalam satu syarikat ada beberapa ahli lembaga pengarah yang boleh luluskan dengan menurunkan tanda tangan. Bukan saya seorang tapi ada adik saya sekali. Adik saya berpakat dengan kakitangan lain, jadi itulah hasilnya," katanya. 

Dalam pada itu, Zoey mengakui teruja apabila berpeluang menjalani kerjasama dengan syarikat Paluts Food Sdn Bhd yang menghasilkan produk berasaskan pisang. 

"Saya tak pernah keluarkan produk makanan sebelum ini. Jadi ini adalah percubaan kali pertama saya. Saya bersama Ridzuan bersepakat untuk menjalin kerjasama ini dan diharapkan perniagaan makanan saya akan berjaya dan berkembang maju," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post