Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat sudah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, pada awal bulan ini atas pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
"Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah. Selanjutnya, pihak mahkamah menangguhkan kes pada jam 9 pagi, 23 Februari hadapan untuk perbicaraan.
"Tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM 3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam kumpulan A," katanya ketika dihubungi wartawan tadi.
Mohd Shahzihan berkata, pendakwaan terbabit dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Selangor, Atras Mohd Zain.
Beliau berkata, Muhammad Sajjad didakwa atas pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita.
Katanya, usahawan kosmetik didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.