Along Cham belum temui pengganti





Hampir lima tahun menduda, pelakon dan pelawak, Along Cham masih belum bertemu pengganti untuk mengisi kekosongan hati.

Sebelum ini, bertebaran cerita yang hatinya sudah kembali berbunga, bagaimanapun cerita itu berlalu tanpa kenyataan pasti. Terbaharu, timbul pula kisah yang bapa tunggal kepada Ahmad Daniel itu sudah ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga.

Ketika diminta kepastian berhubung desas-desus, pantas Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad menafikannya. Dengan alasan masih trauma dengan apa yang pernah berlaku dalam hidupnya.

"Belum lagi, tidak sama sekali. Saya hanya mengikut aliran hidup. Saya reda dengan apa sahaja suratan takdir tertulis untuk diri ini. Apa yang berlaku buat saya lebih berhati-hati," pintasnya ringkas.

Bagi pelakon filem Tiada Tajuk itu, tumpuannya kini hanyalah untuk membesarkan Ahmad Daniel yang disifatkan sebagai tiada galang ganti.

"Anak adalah segala-galanya dalam hidup saya. Ahmad Daniel kini berusia sembilan tahun dan bersekolah di Johor Bahru. Saya lebih selesa membiarkan anak dijaga ibu di kampung. Saya sanggup berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

"Sebelum ini, saya ada komitmen jadi penyampai radio di sebuah stesen radio di Johor Bahru. Walaupun kontrak sudah tamat, namun saya masih menetap di sana kerana mahu bersama anak. Ahmad Daniel tak boleh berenggang lama dengan saya. Kalau tak ada, dia akan cari.

"Sepatutnya, saya sudah kembali berhijrah dan kembali bekerja di Kuala Lumpur sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. Terdetik juga nak pindahkan anak bersekolah, tetapi tergendala sebab PKP," katanya.

Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bintang Akademi Fantasia 4 (AF4), Zila Seeron, namun mereka bercerai pada Ogos 2016 selepas lima tahun hidup bersama. Dia juga mendapat hak penjagaan kekal anak mereka, manakala Zila diberi hak lawatan.

Beralih perkembangan kerjaya seninya, Along yang terkenal dengan watak Bobby dalam filem Adnan Sempit berkata, dia kini kembali aktif berlakon.

"Saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama Sabili Series: Ali arahan Mawi untuk saluran Nurflix. Ia akan disiarkan Oktober depan. Sebelum ini, saya pernah beberapa kali berlakon di bawah arahan Mawi termasuk filem Tiada Tajuk.

"Pada masa sama, saya juga turut terbabit dalam kerja pengarahan dan penerbitan video korporat serta iklan untuk Industri Kecil & Sederhana," katanya yang turut aktif dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan bergelar presiden.

Post a Comment

Previous Post Next Post