Jenita Janet Tak sanggup korban identiti




Penyanyi, Jenita Janet selebriti popular di Indonesia yang mempunyai hampir 1,000 koleksi rambut palsu. Kata wanita itu, dia mulai memakai aksesori itu pada 2012 kerana keperluan. Namun, seiring waktu, pemakaian rambut palsu itu kini sudah menjadi sebahagian daripada identitinya. Bagaimanapun, kata Jenita, dia hanya memakai rambut palsu hanya ketika mengadakan persembahan.

“Saya seorang yang bertenaga dan suka sesuatu ada warna ceria. Oleh itu, setiap warna rambut itu saya akan gayakan ketika persembahan sesuai dengan lagu yang dinyanyikan.

“Bagaimanapun, kalau terus warnakan pada rambut asli, ia akan menyebabkan rambut saya rosak. Untuk mengelakkan perkara itu, saya akhirnya memakai rambut palsu dan lama-kelamaan ia menjadi identiti.

“Ada peminat yang suruh saya buka rambut palsu bagaimanapun, saya akan pertahankan imej ini. Lagipun, kalau hari biasa saya tidak akan pakai,” katanya yang pernah datang ke Malaysia pada 2013 mempromosikan lagu Direject.

Kerap memakai rambut palsu, Jenita pernah dikatakan cuba meniru penyanyi antarabangsa, Katy Perry. Bagaimanapun, wanita berusia 31 tahun ini menafikan dakwaan berkenaan.

Memakai rambut palsu bukan hal yang mudah, katanya, untuk mereka yang belum biasa memakai rambut palsu akan berasa pening malahan penjagaan aksesori itu juga perlu dijaga rapi.

“Mula-mula pakai memang pening sebab getah untuk mengikat rambut itu agak ketat. Kemudian, harus sarungkan ‘harnet’ sebelum pakai rambut palsu. Memang awalnya rasa agak pening. Penyepit rambut pun perlu pakai banyak supaya rambut tidak tercampak ketika mengadakan persembahan.

“Ada rambut palsu yang saya beli di kedai tetapi kurang berpuas hati lalu saya tempah khas kerana ia lebih jimat dan material yang digunakan untuk rambut itu juga lebih berkualiti dan kelihatan seperti rambut asli.

“Ada antara rambut palsu yang saya beli secara dalam talian iaitu dari China, Kanada dan Amerika Syarikat. Walaupun sudah lama memakai rambut palsu, adakalanya saya kurang selesa ketika cuaca panas,” katanya yang pernah membeli rambut palsu paling mahal dengan harga lebih RM4,000.

Berkolaborasi dengan kumpulan Estranged menerusi lagu Mau, Jenita sempat mengenang kembali susah payah yang dilaluinya demi bergelar anak seni.



Jenita Janet dahulu menyanyi dangdut keliling kampung.

Sebelum bergelar penyanyi profesional, Jenita terlebih dulu banyak menyanyi pada kenduri atau majlis di kampung dan pekan kecil.

“Dulu saya nyanyi dangdut keliling kampung. Ketika itu, susah untuk menembusi ke kaca televisyen. Namun, saya bersyukur kerana kerja keras akhirnya berbaloi.

“Saya percaya, kalau ikhlas, akan dipertemukan dengan orang hebat untuk bawa kita masuk dalam industri.

“Walaupun saya menghiburkan tetamu dalam majlis kecil sama ada di tengah sawah atau kebun sekali pun, saya tetap akan berikan yang terbaik. Sejak dulu lagi saya begini. Tidak sangka anak kampung seperti saya boleh berjaya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post