Nayunda tidak lelah isu lagu ciplak




Tiada angin, tiada ribut, nama duo adik-beradik, The Mirza tiba-tiba menjadi hangat apabila lagu mereka, Lelah Mengalah didakwa pernah dirakam dan dipopularkan oleh penyanyi dari Indonesia, Nayunda.

Dilancarkan secara rasmi di YouTube pada 5 November tahun lalu, lagu yang diberi judul Lelah Mengalah itu merupakan hasil ciptaan komposer dari seberang, Ratna Koin.

Sungguhpun netizen mendakwa Nayunda merupakan pemilik asal lagu tersebut, namun The Mirza yang dianggotai oleh Zaf dan Syifa tetap berkeras bahawa Lelah Mengalah merupakan lagu milik mereka.

Bagi mendapatkan kepastian mengenai isu tersebut, Kami bertanya sendiri kepada Nayunda yang kebetulan singgah di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu bagi mempromosikan sebuah persembahan amal yang akan diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 13 April depan.

Menurut Nayunda atau nama penuhnya Nayunda Nabila Nizrinah, 28, lagu berkenaan dirakam sekitar tahun 2017. Bagaimanapun, isu mula timbul apabila dia menarik diri daripada syarikat rakaman 18 Musik, iaitu syarikat yang sama menaungi The Mirza.

Nayunda, benarkah dakwaan The Mirza yang mengatakan Lelah Mengalah merupakan lagu milik mereka?

NAYUNDA: Sebenarnya saya yang terlebih dahulu merakamkan lagu Lelah Mengalah terlebih dahulu sebelum mereka iaitu pada 2017. Tetapi, selepas setahun lagu tersebut dilancarkan, secara tiba-tiba lagu Lelah Mengalah dinyanyikan oleh The Mirza. Saya sendiri keliru apabila mendapat tahu tentang perkara ini.

Apakah respons syarikat rakaman anda selepas isu kononnya The Mirza menyanyikan lagu anda menjadi tular?

Selepas merakamkan single kedua, Baru Aku Tahu Cinta Itu Apa pada tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada 18 Musik. Saya berbuat demikian kerana mereka gagal untuk mempromosikan lagu-lagu saya sebaiknya. Namun, The Mirza menyanyikan semula lagu saya kerana mereka turut bernaung bawah syarikat rakaman yang sama.

Adakah anda mempunyai hubungan kurang baik dengan syarikat rakaman?

Boleh dikatakan begitu. Mereka seperti tidak tahu untuk mempromosikan karya saya. Paling mengecewakan, mereka sanggup mengugut saya. Kata mereka, jika saya keluar daripada 18 Musik, mereka mahu menghasut semua penerbit di Indonesia untuk tidak bekerjasama dengan saya. Tetapi, saya berkeras hati dan tidak mempedulikan ugutan mereka.

Secara peribadi, adakah kamu berasa kecewa apabila melihat orang lain mengaku bahawa lagu kamu milik mereka?

Kalau ikutkan perasaan, mungkin saya boleh berlagak sombong dan mengatakan lagu ini adalah kepunyaan saya. Peminat sendiri boleh melihat jejak digital lagu itu yang diluncurkan pada 2017, setahun sebelum wujudnya versi The Mirza. Tetapi, saya tidak kisah dan tidak terkesan. Asalkan isu ini tidak mencemarkan nama, saya okey sahaja. Tambahan pula, nama saya menjadi lebih dikenali selepas ramai orang bercakap tentang isu ini.

Jadi, anda kini sudah bergerak secara sendiri?

Benar, saya sudah bebas dan bergerak sendiri di Jakarta. Cuma, di Kuala Lumpur ada pengurus yang menguruskan kerjaya saya.

Boleh kongsikan mengenai majlis persembahan amal yang akan berlangsung bulan depan?

Saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk menjayakan Persembahan Amal Bersama Nayunda Nabila Nizrinah. Hasil kutipan persembahan tersebut akan disalurkan ke rumah anak yatim terpilih. Bagi yang ingin mendapatkan tiket boleh hubungi pengurus saya di Kuala Lumpur, Mustakim Johari menerusi talian 016-624 2450.

Post a Comment

Previous Post Next Post