Nabil Mahir dedah sudah beli cincin lamar




Nabil (kanan) mendakwa telah membeli cincin lamaran itu pada 9 November di Singapura lalu.

Pelakon Nabil Mahir mendedahkan bahawa dirinya sudah membeli sebentuk cincin mewah untuk melamar bekas kekasihnya, pelakon Sarah Hildebrand.

Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad Mahir, 31, berkata, cincin emas putih itu dibelinya pada November tahun lepas.

"Saya beli cincin itu pada 9 November di Singapura.

"Bahkan, saya sudah merancang untuk melamarnya pada 20 April nanti sempena ulang tahun perhubungan kelima kami, namun nampaknya kami tidak ada jodoh," katanya ketika ditemui sewaktu Majlis Pelancaran Bazar Selebriti Festival GT Asia di sini hari ini.

Nabil dan Sarah, 29, menjalin hubungan cinta selama lima tahun sebelum membuat keputusan berpisah sebulan yang lalu.

Kata Nabil lagi, dia juga menafikan bahawa kegagalan perhubungan mereka disebabkan oleh orang ketiga.

"Sebenarnya ia tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak.

"Cuma, saya sendiri sudah merasai perubahan diri Sarah yang semakin menjauhkan diri daripada saya dan keluarga sebelum memohon diberi petunjuk," katanya.

Jelas Nabil lagi, dia juga sudah redha dengan apa yang berlaku.

"Saya dah boleh terima kenyataan dan tidak mahu memikirkannya lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Nabil, dia bakal terlibat sebagai pengacara bagi program Bazar Selebriti yang bakal berlangsung pada 15 Mac ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Program tersebut nanti menghimpunkan seramai 50 selebriti tempatan berniaga.

Post a Comment

Previous Post Next Post