Erra Fazira pilih cabang humor




Selepas lebih dua dekad bergelar anak seni, Erra Fazira mengakui beliau terbuka untuk meneroka bidang baharu selain nyanyian dan lakonan dengan mula aktif menyertai dunia lawak.

Sejak muncul dalam program Arena Panggang sekitar tahun lalu, peluang wanita tinggi lampai yang terkenal dengan gelaran primadona filem Melayu itu untuk muncul dalam program lawak semakin terbuka luas.

Terbaharu, beliau terpilih selaku juri profesional untuk program Miss Lawak 2019 yang bersiaran sebanyak sembilan episod bermula 6 Mac ini di saluran Astro Warna (132).

Terdahulu pernah timbul isu apabila peminat menyuarakan perasaan kurang senang mereka berhubung trend stesen televisyen menjemput selebriti yang bukan pelawak sebagai juri program lawak.

Hal ini kerana, pada hemat mereka, selebriti yang tidak berkecimpung dalam bidang lawak tidak mempunyai ilmu atau hak setara untuk memberi penilaian.

Bagi Erra sendiri, beliau mempunyai pandangan tersendiri berkenaan isu tersebut. Katanya: “Bidang lawak merupakan salah satu bahagian dalam bidang seni atau lakonan. Jadi, tidak salah untuk mana-mana selebriti dijemput menjadi juri.

“Jika dinilai pada elemen program Miss Lawak, ia mengandungi tugasan yang berkait rapat dengan program ratu cantik.

“Saya juga pernah bertanya kepada pihak Astro kenapa pilih saya, jawapannya kerana saya sesuai dengan program ini. Saya akui saya bukanlah pelawak, tetapi setiap manusia ada elemen lawak dalam diri masing-masing.”

Malah, pelakon filem Polis Evo 2 itu mengakui berasa sangat selesa dan seronok berada dalam kelompok pelawak kerana menyifatkan bidang tersebut sentiasa menggembirakan hatinya.

“Ini juga salah satu cabang dan bidang baharu yang saya cuba teroka. Sambil terlibat dengan program lawak, saya akui dengan cara ini dapat gembirakan diri sendiri juga,” ujarnya.

Kehidupan

Berkongsi lanjut tentang perkembangan karier seninya, pemilik nama sebenar Fazira Wan Chik itu berkata, beliau baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah filem seram.

Dalam masa terdekat juga, pelakon filem Sembilu itu juga bakal muncul dengan sebuah single baharu selepas lebih 10 tahun tidak mengeluarkan produk muzik.

Menerusi lagu berjudul Menangkah Cinta hasil ciptaan Hafiz Hamidun, Erra meletakkan sasaran untuk menjadikannya sebagai lagu runut bunyi (OST) drama rantaian di televisyen.

“Sebelum ini saya ada menerima beberapa buah lagu demo, tetapi lagu ini yang paling menarik minat kerana begitu dekat dengan kehidupan saya. Buat orang yang berpasangan sama ada isteri dan suami atau kekasih, lagu ini akan menyentuh hati mereka,” ujarnya yang turut terlibat dalam arah tuju penulisan lirik lagu tersebut.

Langkah Erra untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian ibarat mengiringi trend kemunculan semula penyanyi-penyanyi senior tempatan. Namun, beliau tidak mahu meletakkan sebarang jangkaan berlebihan untuk Menangkah Cinta.

Memadai baginya setiap kerja yang dilakukan berjalan dengan tenang tanpa ada sebarang tekanan baik daripada orang luar mahupun diri sendiri.

“Sejak dahulu saya tidak pernah meletakkan apa-apa jangkaan untuk hasil kerja. Selepas lagu sudah siap dan sasaran juga di depan mata iaitu dijadikan OST drama, hasilnya sama ada diterima baik atau tidak semuanya bergantung pada rezeki.

“Ironinya saya memang sudah lama berhasrat untuk buat lagu, tetapi sebelum ini tidak ada peluang dan lagu tidak sesuai. Jadi, apabila rezeki sudah sampai, saya buat sahaja,” katanya yang popular menerusi beberapa buah lagu seperti Pasrah, Jendela Hati, Yang Terindah Hanyalah Sementara dan Hanya Di Mata.

Kabur

Beralih pada kehidupan peribadi, sejak hubungan mesranya dengan penyanyi Shahir berjaya dihidu pihak media beberapa tahun lalu, Erra sering dihimpit persoalan membabitkan kesahihan cinta mereka.

Malah, sepanjang dikaitkan dengan lelaki itu, ada banyak kisah yang kurang manis hinggap pada dirinya yang menyebabkan Shahir membuat pengakuan berani dan beberapa kali menyuarakan hasrat untuk menyuntingnya sebagai isteri.

Acap kali bertemu media, pastinya soalan peribadi berkenaan akan disentuh. Meskipun begitu, Erra enggan memberi sebarang kenyataan berhubung status terkini hubungannya dengan Shahir.

Alasan Erra, 45, dia sendiri tidak pasti kedudukan dan status hubungannya bersama juara program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu.

“Sejak dari dahulu, kami tidak pernah secara terbuka mengakui bahawa kami ada apa-apa hubungan. Jadi, sama ada hubungan ini menang atau gagal, saya tidak boleh beri sebarang kepastian. Tidak adil jika pada awalnya kami tidak mengaku bercinta, tetapi pada akhirnya saya kata sudah putus.

“Susah untuk saya mengiyakan atau menidakkan. Selama ini, kenyataan berkenaan kahwin semuanya datang dari mulut dia. Tetapi adakah perkara itu terlaksana sehingga ke hari ini? Jika saya bercakap lebih pun tidak elok juga.

“Saya sendiri tidak pasti di mana kedudukan saya. Bagi saya, jika tidak pasti di mana kedudukan kita, untuk apa tetap berpaut pada perkara yang tidak pasti. Kalau sudah tahu tapak itu belum kukuh, janganlah terlalu awal untuk membeli bahan-bahannya,” tuturnya berkias meluah rasa.

Ditebak dengan tindakan Shahir yang kerap memberi kenyataan serupa sehingga kelihatan dirinya mudah menabur janji meskipun tidak membenihkan sebarang hasil, Erra ada jawapan tersendiri.

Baginya, beliau sedar hakikat bahawa segala kenyataan yang terbit daripada mulut lelaki itu mampu memberi impak bukan sahaja kepada dirinya, tetapi seluruh keluarganya.

“Lelaki tidak faham, apabila mereka menabur kata-kata, sekali gus akan menerbitkan harapan kepada seorang wanita. Apatah lagi perkara sebegini turut memberi kesan kepada keluarga.

“Ditambah dengan status saya sebagai seorang ibu tunggal, apabila perkara ini tidak menjadi, sedikit sebanyak menimbulkan situasi kurang manis.

“Seperti yang pernah saya suarakan sebelum ini, jangan keluarkan sebarang kenyataan kalau dia tidak maksudkan apa-apa. Mungkin dia tidak berfikir panjang sebelum bercakap mengenai perkara tersebut,” ulas Erra.

Ditanya tentang kelangsungan hubungannya dengan Shahir, Erra mengaku sudah lama tidak bertemu dengan Shahir dan hanya berhubungan menerusi pesanan mesej dan panggilan telefon.

“Saya dengan dia masih baik dan tidak bergaduh. Cuma saya sudah lama tidak berjumpa dengannya. Sebab itu saya sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku dan apakah hala tuju hubungan kami.

“Mungkin bunyinya agak klise, tetapi saya berserah dan mengikut sahaja dengan apa yang telah diaturkan Allah,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post