Sejak disahkan hamil pada September 2016, pelakon Syatilla Melvin memilih untuk memperlahankan karier seni dan seterusnya berehat seketika apabila kandungan yang sudah membesar.
Ujarnya pada ketika itu, dia akan kembali di dalam industri seni apabila sudah bersedia.
Namun selepas selamat menimang bayi lelaki yang diberi nama Syeriv Samheizy, isteri kepada aktor berbakat besar, Shaheizy Sam ini mengakui berat untuk meninggalkan anak ketika bekerja.
Bagaimanapun ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini, ia bukan bermakna dia memilih untuk meninggalkan karier lakonan, namun mahu memastikan Syeriv besar sedikit terlebih dahulu.
"Kalau dulu, kami ada mummy (mak mertua, Khaty Fauziah) yang tolong menjaga Syeriv kalau saya ke set, tapi sekarang mummy dah duduk di Melaka.
"Jadi saya tak percaya untuk meninggalkan Syeriv bersama orang lain, tambahan pula macam-macam kes kita baca mengenai pengasuh bayi kini.
"Oleh sebab itu, saya rasa biarlah Syeriv besar sedikit dahulu, selepas itu barulah saya fikirkan karier seni," akuinya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengakui rindu dengan karier lakonan, pemilik nama sebenar Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 27, berkata, dia lebih rela menahan diri kembali ke set daripada melepaskan momen indah bersama anak.
"Bohonglah kalau saya kata tak rindu kerana lakonan memang minat saya.
"Tapi saya percaya setiap ibu mahu melihat perkembangan anak-anaknya hari demi hari, cuma mungkin ini rezeki saya apabila diberi peluang menjaga sendiri anak saya.
"Bagi saya setiap hari bersama Syeriv adalah momen instimewa buat saya.
"Sam juga tidak pernah menghalang saya kembali ke set tapi sebagai isteri, saya tahu dia juga lebih suka saya menjaga anak di rumah," jelasnya.
Berbicara mengenai Syeriv, Syatilla berkata, anak sulungnya itu semakin lasak dan cerdik.
Katanya buat masa ini, dia tidak menggalakkan Syeriv untuk bekerja, namun tidak menghalang sekiranya puteranya itu ingin mengikuti jejak langkah mereka sebagai anak seni.
"Apa yang Sam pernah cakap, kalau Syeriv nak terlibat dalam bidang seni, dia nak Syeriv buat betul-betul, ambil serius dengan kerjayanya.
"Biarpun dia tak pernah katakan buat macam bapak, tapi saya tahu ia merujuk kepada cara Sam bekerja," katanya.
Pasangan pelakon ini bernikah pada 8 Februari 2016 di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, Pulau Pinang.