Saharul Ridzwan Biar kurus sampai hujung tahun!


Pelakon, Saharul Ridzwan, 29, perlu kekal kurus sehingga penghujung tahun ini bagi memastikan kesinambungan karakter yang dibawakannya dalam beberapa drama dan telefilem lakonannya.

“Kebanyakan drama dan telefilem yang saya terima memerlukan saya berada dalam keadaan kurus sejak Ramadan lalu sehinggalah penghujung tahun ini,” katanya.

Tambah pelakon drama bersiri yang menjadi fenomena, Jangan Benci Cintaku itu lagi, dia tidak kisah untuk mengubah penampilan dan bentuk badannya sekiranya itu yang diminta oleh pengarah.

“Saya okay saja sekiranya diminta untuk menaikkan atau menurunkan berat badan. Nak tunggu filem, belum ada rezeki. Jadi, saya buat untuk drama dan telefilem dulu,” katanya.

Ditanya sama ada sukar untuknya tampil kurus seperti gambar terbaru yang dimuat naik ke Instagramnya, Saharul mengakui ia tidak sukar.



“Saya tahu metabolisma badan saya, jadi tak sukar untuk saya turunkan berat badan. Saya akan makan makanan yang boleh membuatkan badan saya susut.

“Dari sudut kesihatan, kalau caranya betul, tidak ada kesan buruk. Tapi, pastikan anda mendapat nasihat daripada mereka yang pakar.

“Satu lagi, mental perlu kuat. Kalau tidak, tak akan menjadi,” katanya.

Secara keseluruhan, Saharul dikenali sebagai pelakon lelaki berotot kehilangan berat badan sekitar lima kilogram.

Bentuk badan kurus ini disesuaikan untuk drama Terlanjur Mencintaimu 2, telefilem Sahur Terakhir dan drama Mawar Murni. Selepas ini, dia akan teruskan penggambaran drama bersiri sebanyak 60 episod pula.

Post a Comment

Previous Post Next Post