Lebih sedekad dalam industri seni, Nickhun yang kini berusia 30 tahun mempunyai prespektif baru dalam menjalani kehidupan. Pada usia 20-an, jejaka kelahiran Thailand ini mengakui takut berdepan masa hadapan.
Semakin matang, anggota kumpulan 2PM ini teruja menantikan apa saja yang mendatang. Dia juga sudah bersiap sedia untuk mencuba perkara baru selain menyanyi dan berlakon.
“Dulu, saya selalu risau apa yang akan berlaku hari esok. Saya ada perasaan seperti itu kerana tidak tahu apa masalah yang akan berlaku dan bimbang tidak dapat menghadapi, seterusnya menyelesaikannya.
“Bagaimanapun, dengan pengalaman yang ada saya teruja untuk melihat apa yang masa hadapan akan berikan kepada saya. Sama ada masalah mahupun kejayaan dalam karier, saya okey,” katanya.
Nickhun percaya, belajar perkara baru adalah pengalaman berharga dan wajar dinikmati. Seorang yang mementingkan kesempurnaan, dia perlahan-lahan cuba keluar daripada kepompong itu.
Katanya, dia sering meletakkan harapan tinggi setiap kali melakukan sesuatu. Apabila hasil tidak seperti yang diharapkan, ia akan mengundang rasa kecewa dan sakit hati.
“Saya ingin tengok setiap perkara yang dilakukan sama dengan apa yang saya harapkan. Namun, apabila yang terjadi itu sebaliknya, ia mengundang rasa kecewa.
“Kini, saya tidak mahu lagu berfikiran seperti itu. Saya percaya, kalau kerja keras suatu hari nanti pasti ada hasilnya dan sementara itu, nikmati saja apa yang ada di depan mata,” katanya.
Nickhun yang baru-baru ini membintangi filem Brother of the Year, berasakan dirinya umpama orang baru dalam industri meski hakikatnya sudah bergelar senior.
“Aktif dalam bidang lakonan membuatkan saya rasa seperti orang baru. Situasi sangat berbeza ketika kali pertama saya menyertai kumpulan 2PM. Saya berasakan tanggungjawab lebih besar dalam setiap hal.
“Di mana sahaja, saya akan bawa nama 2PM. Setiap kesilapan yang saya lakukan akan menjejaskan imej semua ahli kumpulan ini,” katanya.