Zara Zya sedia jadi isteri Hafreez


Zara Zya bahagia bersama Hafreez.

Mengakui bercinta dengan Hafreez Adam, pelakon Zara Zya menafikan hubungan cinta sengaja diada-adakan kononnya demi ‘menutup’ mata peminat tentang hubungan sejenis dengan pengurusnya.

Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 33, berkata, dia tidak boleh menutup mulut orang ramai yang berprasangka buruk dengan dirinya yang sebelum ini jarang mempunyai kontroversi dengan lelaki.

Ujarnya, hubungan cinta dengan Hafreez sudah mencapai tahap berikutnya apabila sudah bertemu dengan pihak keluarga pelakon itu. Zara mengatakan dia bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri, namun menunggu heronya dalam drama Monalisa itu memulakan langkah ke arah itu.

Dalam perkembangan lain, Zara muncul dengan single terbaharu berjudul Tiada Dendam. Kongsinya, klip video lagu tersebut menjalani penggambaran di Tokyo, Jepun.

KOSMO!: Maaf bertanya, boleh kongsikan perkembangan hubungan cinta Zara dengan Hafreez?

ZARA ZYA: Macam biasa. Saya selesa menjalin hubungan dengan Hafreez kerana otak kami boleh menerima hal-hal yang ‘gila’.

Sebenarnya, saya sudah kenal dia sejak lima tahun lalu namun apabila digandingkan bersama dalam drama Monalisa, hubungan kami semakin intim. Doakan yang baik-baik untuk kami.

Apa sebenarnya yang membuatkan anda tertarik dengan dia?

Dia seorang yang amat penyabar. Kami serasi bersama dan sudah kenal kerenah masing-masing.

Sebenarnya, saya tidak pernah umumkan kami ingin bercinta lebih serius namun cinta itu datang secara semula jadi.

Lagi satu yang buat saya tertarik, dia tidak merokok dan seorang yang periang. Dia memang suka mengusik dan pandai buat lawak.





Ada suara-suara sumbang mengatakan hubungan anda dengan dia sengaja diada-adakan kononnya untuk menutup hubungan sejenis anda dengan pengurus sendiri. Apakah komen anda?

Tidak baik kata begitu namun saya tidak salahkan sesiapa. Bagi saya, sebelum ini memang saya tidak pernah dikaitkan dengan lelaki lain.

Jadi, apabila sudah berkawan rapat dengan seorang lelaki, mudah timbul cerita-cerita yang tidak menyenangkan seperti saya berkawan dengan Hafreez hanya untuk menutup kisah cinta saya dengan pengurus.

Sudah ada perancangan untuk ke arah perkahwinan?

Hafreez kata tidak mahu bertunang namun ingin terus bernikah. Saya tidak lagi terfikir sampai ke arah itu tetapi saya minta orang ramai mendoakan hubungan kami sehingga ke jenjang pelamin. Ibu dan kakak saya sudah berjumpa dengan Hafreez. Cuma Hafreez belum berjumpa dengan bapa saya lagi.

Baiklah, boleh cerita mengenai kolaborasi anda dengan Life Records Malaysia dan keluaran pakaian jenama milik anda serta single baharu?

Alhamdulillah, saya muncul dengan single terbaharu berjudul Tiada Dendam. Saya terbuka menerima kritikan orang ramai namun, tidak akan biarkan kritikan membuatkan langkah atau minat saya terhenti.

Sementara itu, jenama pakaian Zya sudah mula dijual secara online. Buat masa sekarang, blause dan jean berharga bawah RM100 hangat terjual. Insya-Allah, tidak lama lagi akan ada produk lain seperti jam tangan, tas tangan dan banyak lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post