
Bagi mencapai sasaran berat badan 90 kg, pelakon Remy Ishak, 36, akui terpaksa makan lebih lapan kali sehari.
Pelakon itu mendedahkan, dia perlu membesarkan badan untuk sebuah filem aksi seni bela diri campuran (MMA) yang akan memulakan penggambaran pada 8 Mei ini.
"Berat saya sekarang 76 kg dan perlu naik kepada 90 kg sebelum diturunkan kepada 83 kg, semua itu perlu direalisasikan sebelum minggu depan," katanya.
Pelakon bakal muncul dengan filem Pulang ini, berkata dia mengalami kesukaran bernafas dengan selesa gara-gara makan terlalu banyak pada satu-satu masa.
Remy ditemui Harian Metro turut akui sejak berat badannya bertambah, dia tidak dapat bergerak dengan selesa dan pantas.
"Saya sudah biasa dengan berat 71 kg sebelum ini dan sekarang, saya rasa berat dan pergerakan perlahan.
“Saya ke gimnasium dari jam 6 hingga 8 pagi dan sebelah malam pula, latihan mempertahankan diri MMA," katanya.
Dek filem ini juga, Remy pernah dilaporkan mengalami patah jari kaki ketika sesi latihan, bulan lalu.
Filem aksi MMA diberi judul sementara iaitu Sangkar menggandingkan Remy bersama pelakon Zul Ariffin.