Kemunculan anak seni bernama Misha Omar di kaca televisyen dengan menggalas peranan sebagai pengacara untuk program Bintang RTM 2018 dan Mentor Otai (TV3) sudah pastinya dapat mengubati rindu peminat setianya untuk melihat dirinya kembali aktif dalam industri hiburan.
Apatah lagi apabila mendapat perkhabaran penyanyi berusia 36 tahun itu bakal muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Sampai Bila.
Penulis yakin kemunculan lagu itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi itu akan memberikan sejuta rasa teruja khususnya buat para pengikutnya.
Bersua bicara dengan pemilik nama Samihah Omar pada pertemuan petang itu, Misha diajak bersembang serba sedikit mengenai single ciptaan komposer terkenal, Sharon Paul manakala liriknya pula ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri.
“Single Sampai Bila ini merupakan sebuah lagu balada yang mana mengisahkan tentang tanda tanya dalam sebuah percintaan.
“Insya-Allah, Sampai Bila akan dilancarkan secara rasmi pada awal atau minggu kedua bulan ini,” ujarnya yang turut memberitahu lagu ini mendapat maklum balas yang positif daripada kalangan peminatnya mahupun pihak media.
Ambil semangat Dayang Nurfaizah
Kemunculan pendatang baharu sememangnya menjadi satu fenomena dalam industri muzik tempatan.
Lihat sahaja barisan nama seperti As’ad Motawh, Aiman Tino, Wany Hasrita dan ramai lagi, lagu-lagu mereka telah menjadi kegilaan kepada segelintir pengikut industri hiburan tanah air malah mempunyai pengikut tersendiri.
Justeru, persoalan adakah tercalit sedikit kebimbangan yang bermain di jiwa penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu mengenai penerimaan pengikut industri hiburan terhadap Sampai Bila.
Jujur bicaranya melontar dogma kata, ibu kepada Muhammad Idris Ezzwa Firos Ezzwan menjawab penuh ketenangan.
“Sebenarnya, dalam hal begini, saya sangat menghormati dengan semangat Dayang Nurfaizah dan dia adalah inspirasi saya.
“Dayang menunjukkan bahawasanya jangan kenal erti putus asa, jangan berpuas hati malah terus berkembang.
“Jadi, Dayang adalah satu contoh terbaik untuk saya dan boleh dikatakan dia inspirasi untuk saya keluar dengan lagu Sampai Bila. Lagipun, macam apa yang kita lihat, pada tahun ini Liza Hanim, Azharina Azhar dan Datin Alyah telah muncul kembali memeriahkan industri hiburan,” katanya.
Memutar topik sama, Misha yang kini melebarkan sayap dalam bidang perniagaan dengan mengeluarkan produk menurunkan berat badan sendiri menjelaskan pertanyaan berkenaan dengan jawapan yang lebih lanjut.
“Kita bukan mahu membuktikan apa-apa. Sampai Bila ini sebenarnya adalah lebih kepada untuk mengubati rindu peminat.
“Selain itu, ia juga sedikit sebanyak menyajikan kepelbagaian karya selain dapat memeriahkan industri hiburan tanah air. Terpulang kepada pendengar dan saya rasa ada peminat yang setia dari dahulu sampai sekarang.
“Tetapi harapan saya ialah saya harap dapat mengumpul peminat baharu dalam kalangan budak-budak generasi kini,” jelasnya.
Misha berpendapat, pendengar tidak perlu fokus kepada seorang penyanyi sahaja.
“Pada saya, tidak perlu fokus kepada satu penyanyi sahaja. Kita ada ramai dan harus dengar semua.
“Maknanya, kalau dengar lagu Aiman, ada ruang juga untuk dengar lagu Misha,” tuturnya melentur tawa hingga membingitkan lagi pertemuan pada petang itu.
Pesanan Misha
Jika sebelum ini, beberapa orang pelakon termasuk Nabila Huda dan Remy Ishak memberi nasihat dan luahan kepada pelarut watak yang baru berkecimpung dalam lapangan lakonan.
Kini, penulis teringin pula untuk mengetahui pandangan Misha terhadap pendatang baharu dalam bidang nyanyian.
Bukan apa, penulis yakin pasti ada sesuatu yang menjentik hati bekas peserta Bintang RTM pada tahun 2001 ini untuk berkongsi rasa.
Bijak menutur kata agar tidak mengguris hati sesiapa, anak seni yang mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam industri hiburan meluahkan pandangan dan pesanannya.
“Semua orang ada zaman kegemilangan masing-masing. Saya juga begitu iaitu sekitar tahun 2003 dan 2004. Kini, zaman mereka.
“Kalau saya dahulu, cabaran sebagai anak seni, lebih sukar untuk dikenali, lagunya dimainkan dan sebagainya kerana dulu kita tidak ada kuasa media sosial malah hanya sesetengah lagu akan diputarkan tetapi kini berbeza.
“Cuma nya, saya harap mereka tidak berasa terlalu selesa dalam keadaan begini kerana kita perlu melihat 10 tahun akan datang. Saya harap mereka lebih bertanggungjawab terhadap karya mereka, perlu sentiasa menambah baik kerana rugi, peminat dah sayang. Jadi mereka harus menjaganya agar seimbang,” ujarnya yang mengakui turut suka melihat dan mendengar lagu mereka.
Selain itu, Misha memberitahu, daripada segi nyanyian di studio dan secara langsung, ia harus diambil kira.
“Kita perlu mengambil kira baik nyanyian di studio mahupun secara langsung.
“Dulu, kita tidak mempunyai cikgu namun sekarang ramai guru vokal yang boleh membantu memantapkan lagi nyanyian,” ujarnya yang tidak lekang meluahkan rasa syukur kerana dilimpahkan rezeki pada tahun ini sepanjang temu bual bersama Sensasi Bintang.