Arja Lee bukan merajuk tapi sambung belajar


Pelakon Arja Lee memberitahu kerjaya seninya agak perlahan kebelakangan ini bukan disebabkan dia merajuk, sebaliknya memberi fokus kepada pengajian di peringkat sarjana.

Arja atau nama sebenarnya, Azharudin Ramli, 35, berkata, dia kini menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Teater Psikologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Saya berdiam bukan sebab merajuk dengan industri tetapi sibuk dengan pengajian di peringkat sarjana.

"Insya-Allah dalam setahun setenggah atau dua tahun kemudian saya akan sambung ke peringkat doktor falsafah. Saya ingin menjadi pensyarah dan berkongsi ilmu dengan orang lain," ujarnya.

Arja berkata, dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran berikutan menyedari lumrah kehidupan artis tidak lama.






Arja mahu bergelar pensyarah.

Dia sentiasa berfikir ke hadapan dalam mencorak jalan hidupnya.

"Populariti jadi artis hanya sementara sahaja, saya seorang yang fikir ke depan dan pada saya sampai bila kita akan duduk di atas.

"Cukup ada dalam profil sahaja dan kita boleh kongsi pengalaman itu kepada orang lain suatu hari nanti," ujarnya.

Pelakon ini juga menyarankan setiap artis mempunyai inisiatif untuk terus mencari ilmu biarpun sudah berada di kedudukan selesa dalam industri.

Katanya, ilmu yang ada dalam seseorang artis memberi nilai tambah dan akan lebih dihormati oleh masyarakat.

"Saya melihat contoh Norzizi Zulkifli dan Datuk Syafinaz Selamat yang bukan sahaja berbakat tetapi datang dengan pakej dan berilmu," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post