Irwansyah bersama isteri, Zaskia Sungkar.
Irwansyah bukan nama asing dalam kalangan peminat tanah air sementelah ramai antara mereka yang masih mengingati lakonannya menerusi sinetron Ku Tlah Jatuh Cinta termasuk filem Heart dan Love.
Tampil sebagai teraju utama menerusi drama rantaian 60 episod, Dia di TV3, pelakon berusia 32 tahun itu mengakui tersentuh dengan sambutan positif peminat tempatan.
Bahkan, peminat turut mengharapkan agar dia lebih kerap muncul dalam palam naskhah tempatan, sekali gus membawa peranan sebagai hero.
Biarpun mendapat respons baik daripada peminat, Irwansyah bagaimanapun tidak mahu terburu-buru menerima tawaran tidak mengira sama ada di Malaysia mahupun negara kelahirannya, Indonesia.
Selain berasa senang dengan sambutan peminat, Irwansyah turut memilih salah satu pusat perubatan tempatan sebagai lokasi dia dan isteri Zaskia Sungkar mendapatkan rawatan kehamilan.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan daripada isteri selain meraih sokongan penuh teman baiknya yang juga pelakon popular, Laudya Cynthia Bella.
KOSMO!: Memandangkan drama rantaian Dia yang bersiaran di saluran TV3 bakal berakhir pada 11 Mac, jadi bagaimanakah reaksi peminat terhadap lakonan Irwansyah?
IRWANSYAH: Saya berasa gembira dan bersyukur terhadap sambutan peminat. Terima kasih kerana menyokong kerjaya saya di Malaysia termasuk drama rantaian terbabit. Rata-rata peminat menyukai karakter saya sebagai Adit bersama gandingan iaitu Izara Aishah (Emelda) dan Janna Nick (Air). Selepas episod akhir selesai ditayangkan pada 11 Mac, saya mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu.
Mengapa anda mengambil keputusan untuk berehat dan berapa lama?
Disebabkan drama ini menjalani penggambaran yang agak panjang iaitu enam bulan selain perlu memenuhi tuntutan promosi di Malaysia dan Indonesia, saya terpaksa meninggalkan urusan pejabat demi memberi komitmen terhadap naskhah Dia.
Jadi, selepas ini saya ingin fokus kepada pengurusan perniagaan termasuk menguruskan rombongan ibadah haji dan umrah. Bagaimanapun, saya masih tidak tahu berapa lama kerana ia bergantung pada keadaan.
Melihatkan kemesraan antara anda dengan pelakon Sandrinna Michelle dalam drama terbabit, kalian berdua tampak rapat. Tidakkah anda mempunyai perancangan untuk memiliki cahaya mata sendiri?
Saya dan Sandrinna Michelle sememangnya rapat. Tambahan dia membawakan watak sebagai Icha Aulia iaitu anak kepada Aidit dalam drama Dia, justeru hubungan kami semakin rapat.
Tidak dinafikan keinginan itu ada dan sekiranya dikurniakan Tuhan, saya ingin sepasang iaitu anak lelaki dan perempuan. Sekiranya Allah memberi lebih, alhamdulillah rezeki anak mana mungkin dapat menolak. Insya-Allah saya dan isteri, Zaskia Sungkar sedang berusaha untuk mempunyai cahaya mata sendiri setelah tujuh tahun berumah tangga.
Bolehkah anda ceritakan tentang perkara tersebut?
Kami kini menjalani rawatan di Hospital Pantai Kuala Lumpur dan terdapat beberapa proses perlu dilakukan. Justeru, kemungkinan saya akan kerap berulang-alik dari Indonesia ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan berkenaan.
Mengapakah memilih untuk mendapatkan rawatan di Malaysia dan adakah anda pernah menggunakan cara alternatif lain iaitu kaedah tradisional?
Sepanjang berada di Malaysia, saya beberapa kali meluangkan waktu bertemu dengan teman baik iaitu Laudya Cynthia Bella dan suaminya, Engku Emran.
Pada masa sama, Bella turut mencadangkan pusat perubatan berkenaan selain memberi sokongan kepada kami. Sekiranya berkesempatan, dia sendiri hadir menemani kami sebagai tanda sokongan. Sekiranya bercerita mengenai kaedah tradisional, kami ada mencuba kaedah berurut di Indonesia.
Justeru bagaimanakah perkembangan rawatan kehamilan berkenaan?
Buat masa sekarang masih terlalu awal untuk dikatakan kerana terdapat beberapa rawatan yang perlu dilakukan. Mohon doa yang terbaik buat kami.