Mikael Daez Dedah rahsia enam tahun


Tahun lalu, pelakon kacak Mikael Daez buat kali pertama mendedahkan hubungannya dengan Megan Young yang juga bekas Ratu Cantik Dunia 2013.

Lebih mengejutkan, pendedahan itu dibuat selepas enam tahun mereka bercinta.

Sebelum ini, banyak khabar angin mengenai percintaan mereka diperkatakan, namun pasangan itu terus mengunci mulut dan sepakat merahsiakan status mereka.

Menurut Mikael, dia menghormati ruang privasi kekasihnya dan pada masa sama enggan mencampuradukkan hal kerjaya dan cerita peribadi.

Sejak awal pembabitan, jejaka itu sudah terbiasa untuk tidak berkongsi kisah peribadi.

“Saya tahu, pasti ramai yang akan terkejut apabila mengetahui usia hubungan cinta kami. Bukan sengaja merahsiakan tetapi saya kurang gemar berkongsi cerita peribadi.

“Tambahan pula, pada awal percintaan, masing-masing sibuk dan ingin fokus membina kerjaya. Ketika itu, kami masih baru dan tercari-cari peluang untuk memantapkan lagi kerjaya seni.

“Pada waktu itu juga, Megan sibuk mempersiapkan diri untuk pertandingan Ratu Cantik peringkat Filipina sebelum bersaing dengan peserta dari seluruh dunia untuk Ratu Cantik Dunia 2013,” katanya.



Kini lebih terbuka menjawab pertanyaan media mengenai perancangan masa depan, Mikael berkata, mereka mengimpikan untuk mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu bapa.

Bagaimanapun, mereka belum ada perancangan khusus berkenaan majlis perkahwinan yang akan dilangsungkan.

Menurutnya, bila-bila masa saja mereka mungkin akan bergelar suami isteri.

“Saya dan Megan adalah seorang yang sukakan perkara spontan. Kami tidak perlukan rancangan rapi untuk melakukan sesuatu. Mungkin juga saya akan membawa dia ke destinasi romantik dan terus mengadakan majlis di sana.

“Seperti pasangan lain, kami juga ingin merasai kehidupan sebagai suami isteri. Percintaan ini harus diteruskan dengan ikatan perkahwinan. Namun, saya sendiri tidak tahu bila kami akan mengadakan majlis berkenaan,” katanya.

Walaupun sibuk dengan kerjaya, mereka tetap mencuri waktu untuk melancong bersama. Itu adalah satu cara yang dilakukan untuk terus mengukuhkan hubungan mereka.

Mikael yang lebih dulu terjun ke dunia lakonan sering melakonkan babak romantik bersama pelakon wanita lain. Hal itu bagaimanapun tidak menimbulkan perselisihan faham antara mereka.



Kata Mikael, kekasihnya tidak pernah meminta dia untuk menolak mana-mana tawaran ataupun menghalangnya daripada melakonkan babak romantik dengan gandingannya.

“Megan tidak pernah masuk campur dalam urusan kerjaya saya. Dia sangat menghormati setiap pilihan tawaran yang saya lakukan. Dia juga tidak pernah bermasam muka dengan mana-mana pelakon wanita gandingan saya.

“Masing-masing faham ruang lingkup kerja yang harus kami buat. Kami tidak pernah menjadikan kesibukan kerjaya sebagai punca pergaduhan. Karier kami tidak ada kaitan dengan peribadi,” katanya.

Drama Poor Senorita lakonan Mikalel kini ditayangkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis pada jam 3 petang. Pelakon lain yang menjayakan rantaian itu ialah Regina Velasqueq, Ayra Mariano, Jillian Ward dan Miggs Cuadermo.

Post a Comment

Previous Post Next Post