Jimmy Palikat rindu-rinduan


Lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat pernah mencetuskan fenomena satu ketika dulu.

Dia juga pernah bergandingan dengan kumpulan One Nation Emcees menerusi lagu itu.

Namun selepas dikenali menerusi lagu itu, penyanyi dan komposer dari Tambunan, Sabah itu terus menyepikan diri.

Justeru, ramai peminat menganggap Jimmy sudah meninggalkan dunia seni kerana menceburi bidang pembinaan.

Kali terakhir Jimmy menghasilkan album pada 2010.

Hakikatnya, kata Jimmy, cintanya masih pada bidang nyanyian yang diceburi sejak dulu.

“Selain menyanyi dan mencipta lagu, saya juga bekerja sebagai kontraktor untuk menyara keluarga. Sibuk dengan kerja menyebabkan saya juga pernah berhasrat untuk meninggalkan bidang nyanyian sebelum ini.

“Namun, atas permintaan peminat, saya terpaksa membatalkan hasrat itu kerana masih ada peminat yang setia dengan muzik saya,” katanya.

Terbaru, Jimmy juga merancang untuk kembali menyemarakkan bidang muzik tanah air.

“Terus terang, saya sangat merindui bidang nyanyian. Saya juga percaya sudah sampai masanya untuk saya kembali merakamkan lagu baru.

Walaupun tiada publisiti, saya tetap menghasilkan lagu baru untuk mengubat kerinduan peminat yang menyokong sejak dulu,” katanya.




Jimmy Palikat.

Bercerita mengenai single baru, kata Jimmy, ia juga berbentuk nasihat.

“Saya menghasilkan muzik yang senang diikuti peminat dan boleh didendangkan sesiapa saja.Lagu ciptaan saya masih macam dulu dan kalau ada perubahan pun sedikit saja.

“Saya juga memilih untuk mempromosikan lagu di laman YouTube, sekali gus mengikut perkembangan trend terkini sekarang,” katanya .



Mengenai persaingan dengan bakat baru pula, kata Jimmy, dia lebih suka melihat dari sudut yang positif.

“Dalam bidang seni, saya juga tidak melihat adanya persaingan dengan bakat baru dalam bidang muzik. Kemunculan semakin ramai bakat baru menyaksikan idea yang lebih kreatif untuk memartabatkan bidang muzjk,” katanya.

Sebelum ini, Jimmy pernah bernaung di bawah syarikat rakaman Nova Music. Selain lagu Anak Kampung, dia juga pernah muncul dengan lagu Aku Datang KL sebagai pencetus kerjaya nyanyiannya di Semenanjung.

Post a Comment

Previous Post Next Post