Ketika jejaka kelahiran Melaka ini menyertai pertandingan pencarian bakat Hero Remaja 2017 sekitar April tahun lalu, harapan yang tersemat dalam dirinya hanyalah satu. Dia mahu menebarkan namanya sebagai anak seni.
Barangkali pemilik nama Ikmal Amry ini antara peserta yang beruntung kerana terlebih awal mencipta nama sebagai pelakon menerusi drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer yang bersiaran di Astro Ria.
Bagaimanapun, jejak berusia 24 tahun ini sedar pengalaman yang masih hijau dan harapan semata-mata tidak mencukupi untuk membawa namanya ke peringkat lebih tinggi.
Kata Ikmal, persediaan awal perlu dibuat dengan terperinci agar dapat bertahan lama dalam industri seni.
“Saya sedar diri ini tidak akan dikenali dengan hanya satu drama. Saya nekad menyertai pertandingan ini dengan harapan ia dapat membuka laluan dalam bidang lakonan.
“Sejak kecil saya menyimpan hasrat untuk bergelar pelakon,” katanya.
Kata Ikmal, kehadirannya dalam bidang seni bukanlah semata-mata untuk mengejar populariti, sebaliknya dia mempunyai impian besar dan sasaran.
“Saya bukan nak popular atau mengejar nama tetapi ada misi tersendiri untuk menjenamakan diri sekali gus dapat membina empayar perniagaan satu hari nanti.
“Saya percaya ramai selebriti terjun dalam bidang ini untuk mencipta nama dan menceburi dunia perniagaan.
“Diharapkan saya juga mampu berbuat demikian. Namun bidang lakonan akan tetap menjadi sumber rezeki dan kecintaan utama saya,” katanya yang merancang menjalankan perniagaan kosmetik khusus buat lelaki.
Mengakui sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai selebriti, Ikmal berkongsi pengalaman yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
“Meskipun tidak tersenarai sebagai finalis Hero Remaja, pengikut di akaun Instagram naik secara mendadak. Saya kini mempunyai lebih 189,000 pengikut.
“Saya terkejut apabila hampir setiap hari dihujani mesej peribadi daripada peminat yang mahu berkenalan. Namun inilah dunia yang perlu saya hadam,” katanya.
Sebelum menutup perbualan, Ikmal ditanya mengenai bahang kontroversi yang bakal ditempuh apabila memilih seni sebagai kerjaya.
Kata Ikmal, dia sudah bersedia menempuh ujian dan sebarang kemungkinan.
“Insya-Allah, semuanya akan dipermudahkan andai niat kita betul.
“Apa pun yang bakal berlaku, saya reda dan bersedia tanganinya satu persatu,” katanya.