Selepas setahun tidak muncul dengan lagu baru, Amira Othman kini memperkenalkan single ketiga, Mimpi Indah.
Lagu ciptaan Hael Husaini itu menampilkan kelainan berbanding single Hati-Hati dan Jaga-Jaga.
Lebih istimewa, video muzik Mimpi Indah menyelitkan puisi ciptaan peminat Amira.
Menurut penyanyi berusia 25 tahun itu, dia mahu peminat turut terbabit dalam pembikinan video berkenaan.
“Saya menerima banyak kiriman puisi mengenai cinta jarak jauh daripada peminat. Tidak sangka, ramai berbakat dan ada pengalaman hubungan seperti itu,” katanya.
Bekas peserta Akademi Fantasia 2013 itu mengakui terpaksa membuat keputusan sukar dengan memilih puisi paling bersesuaian dengan Mimpi Indah.
“Video muzik ini mudah difahami dan pendengar tahu mesej yang ingin disampaikan.
“Saya mengambil masa lama untuk mencari karya terbaik kerana mengetahui peminat meletakkan jangkaan tinggi.
“Selain itu, saya juga cerewet dalam memilih melodi,” katanya.
Rakaman video berkenaan mengambil masa sehari untuk selesai dan turut menampilkan pelakon Idris Khan.
Bercerita lanjut mengenai Mimpi Indah, Amira berkata lagu itu dapat menggambarkan perasaan seseorang yang dilamun cinta atau merindui kekasihnya.
“Bagaimanapun, individu itu tidak dapat bersama kekasihnya dan hanya dapat mendoakan kebahagian mereka menjadi realiti,” katanya.
Sementara itu, Amira memberitahu ada menerima tawaran berlakon drama, namun mahu fokus terhadap karier nyanyian dulu.
“Tawaran ada tetapi saya belum bersedia kembali ke set penggambaran. Mungkin selepas Aidilfitri saya ada masa untuk berlakon,” katanya.
Mengenai cinta pula, penyanyi kelahiran Johor itu berkata lebih selesa untuk bercinta dengan orang yang bukan dari industri seni.
“Kalau boleh, saya mahu mengelak bercinta dengan lelaki yang terbabit dalam bidang seni. Buat masa ini, saya belum bertemu lelaki sesuai,” katanya.