Yusof Haslam, Mamat Khalid sedar cabaran pembikin filem tempatan


Ketika melayari sebuah ‘dunia fantasi’ di layar lebar, garapan naskhah yang berkualiti pasti menyentuh jiwa audiens. Begitupun, pembikinan sebuah filem memerlukan daya imaginasi dan kos yang tinggi bagi memastikan ia diterima khalayak.

Angka penerimaan dan penolakan khalayak terhadap sesebuah filem dapat dilihat menerusi laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Di situ, terdapat hanya lapan buah filem tempatan yang meraih kutipan melebihi RM1 juta pada tahun 2017.
Senario tersebut sudah pasti memberi cabaran kepada pembikin-pembikin filem tempatan untuk terus berkarya dan bersaing memikat hati peminat seni filem tanah air.

Pengarah dan penerbit Skop Productions Sdn. Bhd., Datuk Yusof Haslam berkata, tahun 2018 merupakan tahun penuh mencabar buat karyawan filem tanah air.

“Secara peribadi, saya merasakan cabaran paling besar yang perlu dihadapi pembikin filem tanah air adalah persaingan dari luar negara. Setiap tahun, banyak filem dari luar negara akan memasuki pasaran tanah air.

Filem tempatan

“Kelebihan pembikin luar negara adalah mereka mempunyai bajet yang tinggi, malah boleh mencecah sehingga berbilion ringgit dalam penghasilan sesebuah karya,” katanya.

Lelaki berusia 63 tahun itu menegaskan, pembikin filem tempatan perlu menghasilkan karya yang lebih berkualiti, lebih kritis dan kreatif bagi memikat audiens.



Katanya, pembikin filem tidak boleh lagi mengambil jalan mudah dan perlu serius dalam pembikinan karya mereka.

“Selain daripada itu, cabaran lain yang perlu dipertimbangkan para pembikin filem tempatan adalah kematangan audiens yang semakin bijak menilai filem-filem berkualiti.

“Justeru, menjadi tanggungjawab pembikin filem untuk menghasilkan karya mencabar minda dan kandungan jalan cerita yang difikirkan berbaloi untuk tontonan semua,” ujarnya.


Dalam pada itu, pengarah filem prolifik, Mamat Khalid pula berkata, para pembikin filem perlu mengenal pasti formula untuk menarik audiens tempatan ke panggung wayang.

Beliau memberitahu, persaingan filem-filem pecah panggung Hollywood, Bollywood dan Hong Kong boleh memenuhi selera dan kehendak audiens secara maksimum kerana berbajet tinggi.

Ditebak soalan berhubung terdapat tidak sampai 10 buah buah filem tempatan yang meraih kutipan melebihi RM1 juta pada tahun 2017, beliau menjelaskan, keadaan tersebut agak membimbangkan kerana penonton lebih memilih untuk menonton filem luar negara berbanding tempatan.

Begitupun, pengarah filem Zombi Kampung Pisang itu menambah, situasi tersebut menunjukkan penggiat seni semakin dapat membaca kehendak penonton tempatan dan terus berusaha menghasilkan karya menepati selera masyarakat.

“Buat penggiat filem tempatan, jangan berputus asa dan teruskan berkarya mengikut rentak serta corak yang memuaskan hati, sama ada pembikin atau penonton secara amnya,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post