Nazrief Nazri, Raja Afiq jaga tingkah laku


Golongan artis mungkin lebih suka untuk berkongsi cerita mengenai kerjaya mereka kepada peminat. Sungguhpun begitu, tidak dapat dinafikan, kisah kehidupan peribadi mereka dilihat lebih menarik perhatian umum.

Adakalanya, situasi itu sedikit sebanyak mengundang rasa kurang selesa kepada golongan selebriti. Jika tersilap langkah, tindak-tanduk mereka mungkin boleh mengundang kontroversi sehingga menjadi bualan dalam kalangan netizen.

Minggu ini Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual dua orang pelakon, Nazrief Nazri dan Raja Afiq yang berkongsi cerita mengenai pengalaman mereka apabila kisah peribadi mereka menjadi perhatian umum berbanding cerita kerjaya mereka.

Sejauh mana kalian melihat golongan artis sering menjadi perhatian utama dalam kalangan masyarakat sehingga melibatkan perkara yang boleh disifatkan cukup privasi?

NAZRIEF NAZRI: Memang tidak dapat dinafikan sebagai seorang figura umum, semestinya mempunyai pengaruh kepada masyarakat. Tidak kisahlah sama ada baik atau buruk yang kita lakukan, itulah yang akan masyarakat lihat dan nilai. Bagaimanapun, itulah harga yang perlu kita bayar untuk bergelar artis, Apatah lagi pada zaman sekarang semuanya berkisar dengan media sosial. Jadi, sebagai artis, kita kena berhati-hati dalam segala tindak-tanduk yang ingin kita lakukan.

RAJA AFIQ: Kalau menjadi artis, orang bukan melihat diri kita di kaca televisyen sahaja. Bahkan, jika berada di luar pun orang akan nilai diri kita. Dari situlah, orang sekeliling akan cuba melihat diri kita dan secara tidak langsung timbul kisah-kisah peribadi kita. Maklumlah, perkara itu kita memang tidak boleh lari. Mahu atau tidak, kisah berbentuk peribadi juga akan menjadi bualan orang ramai.



Sepanjang bergelar artis, adakah kalian pernah berdepan dengan situasi tersebut apabila kisah peribadi menjadi tumpuan umum khususnya netizen?

NAZRIEF NAZRI: Ada pernah sekali, sewaktu saya mahu memulakan karier dalam dunia lakonan, muncul pula isu saya berpenampilan dengan hanya mengenakan seluar dalam. Sebenarnya, sebelum masuk ke dalam industri lagi, saya sudah menjangkakan perkara itu akan dibangkitkan. Apapun, saya anggap itu sebagai satu dugaan untuk dihadapi apabila orang sudah mula mengenali diri ini. Lagipun, saya rasakan ketika itu tidak melakukan sebarang jenayah pun, cuma ketika itu saya bergelar model, tetapi mungkin caranya tidak betul. Apapun, itulah yang pertama dan terakhir kerana saya sendiri tersepit dalam keadaan itu.

RAJA AFIQ: Saya juga pernah berdepan dengan cerita yang tidak berapa elok. Lebih-lebih lagi apabila melihat situasi itu sebagai satu fitnah apabila ada yang mengaitkan diri saya sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas kehamilan seorang wanita hingga mempunyai anak luar nikah. Gosip yang bertebaran di internet seperti secara tidak langsung memberi impak besar dalam hidup saya.

Bagaimanakah kalian berdepan dengan situasi tersebut apabila anda terpalit dengan cerita-cerita negatif sehingga ia menjadi jajaan kepada umum?

NAZRIEF NAZRI: Jika sesuatu perkara yang berlaku itu merupakan satu bentuk fitnah, maksudnya saya tidak lakukan, saya akan pertahankan diri. Lagi satu, kita tidak boleh bersifat ego. Masyarakat kita ini sebenarnya pemaaf. Jadi, kalau kita sentiasa nak bersikap ego, selagi itulah netizen tidak akan berpuas hati. Lagipun, jika sesuatu perkara itu sudah berlaku dan memang salah diri sendiri, lebih mudah untuk mengakui dan meminta maaf. Cumanya, jika sesuatu perkara yang berlaku itu merupakan satu bentuk fitnah, maksudnya saya tidak lakukan, saya akan pertahankan diri saya. Sampai satu tahap, sekiranya keadaan masih berterusan, saya mungkin akan mendiamkan diri sahaja bagi mengelakkan daripada menjadi lebih keruh. Lagipun, pada saya diam itu tidak bermaksud kita salah.

RAJA AFIQ: Adakalanya, terpulang juga kepada orang di luar sana untuk menilai. Walaupun sesuatu perkara itu kita sifatkan sebagai fitnah, sudah diterangkan sekalipun mungkin masih ada yang tidak percaya. Jadi, sebagai artis saya sendiri tidak boleh paksa orang di luar sana untuk percaya apa yang saya cuba sampaikan.

Jadi, sebagai artis, apakah yang kalian lakukan untuk mengelakkan perkara-perkara negatif terpalit dengan diri anda?

NAZRIEF NAZRI: Saya boleh dikatakan bukanlah dalam kelompok budak nakal. Cumanya, ke mana pun kita pergi, akan ada mata yang memerhati. Jadi, kena lebih berhati-hati dengan setiap apa yang kita ingin lakukan. Adakalanya, kalau asyik diperhatikan itu boleh mengundang rasa kurang selesa juga, terutamanya ketika makan.

RAJA AFIQ: Bahkan, jika ingin berkongsi sebarang perkara di laman sosial pun kena tahu batas-batas sepatutnya. Ini kerana, kalau kita tersilap sedikit pun, sekejap sahaja perkara itu akan sudah tersebar dan tular. Lebih-lebih lagi dalam zaman sekarang yang mana media sosial cukup kuat pengaruhnya. Jadi, dalam segala aspek, kita kena pandai jaga diri. Cara pembawaan diri kita kena lebih baik.



Mungkin sikap cuba menjaga tingkah laku anda sebagai pura-pura baik atau dilabel fake. Apakah komen anda?

NAZRIEF NAZRI: Artis juga adalah manusia biasa sahaja sama seperti orang lain di luar sana. Kami sendiri tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Cuma apabila kita tersilap sedikit sahaja, perkara itu yang orang nampak dahulu. Apapun, mahu atau tidak, demi menjaga periuk nasi sendiri, walaupun orang kata fake, kita terpaksa jugalah terima keadaan itu. Sebenarnya saya melihat situasi itu sebagai lebih kepada untuk menjaga diri dan mengelak daripada fitnah, bukanlah nak berpura-pura.

RAJA AFIQ: Bukanlah kita mahu bersifat pura-pura, tetapi peribadi itu memang perlu dijaga bagi mengelakkan orang terus mengecam tindakan kita. Lagipun, bila dah jadi artis, sehingga kepada pakaian pun orang lihat dan nilai.

Mungkin kalian boleh kongsikan serba sedikit mengenai perkembangan terbaharu kalian?

NAZRIEF NAZRI: Sekarang ini drama lakonan saya Bilo Nogori Jupe Kelate sedang ditayangkan di TV3. Selain itu saya kini sedang menjalani penggambaran drama 30 episod, Makmum Yang Paling Aku Cinta bersama pelakon Bella Dally.

RAJA AFIQ: Saya akan muncul dengan drama berjudul Cinta Koko Coklat bersama pelakon lain seperti Aqasha dan Zahirah MacWilson. Drama ini agak panjang bersiaran iaitu selama 50 episod.

Post a Comment

Previous Post Next Post