Selepas bertindak mendiamkan diri, pelakon Datin Diana Danielle akhirnya bersuara berhubung kes melibatkan suaminya, pengarah dan aktor Datuk Farid Kamil di Instagram miliknya pada Sabtu.
Diana menerusi kenyataan singkat berkata, dia memerlukan masa untuk memproses keadaan yang sedang berlaku sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya perlukan masa untuk proses keadaan sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Terima kasih kepada anda semua atas sokongan terhadap saya dan suami,” tulisnya.
Pada Khamis lalu, Farid didakwa mengamuk dan menyerang seorang anggota polis selain dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, Petaling Jaya.
Ujian saringan air kencing juga mendapati Farid positif dadah jenis ganja.
Farid kini sedang ditahan reman bagi membantu siasatan sehingga Isnin ini.
Farid ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan.
Selain itu, Farid juga direman atas Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Menerusi kenyataan itu juga, Diana menegaskan Farid tidak pernah sesekali mengasari dirinya.
Malah kata Diana, dia tetap akan berdiri teguh disamping Farid selain akan berusaha memperbaiki apa diperlukan selain memperkukuhkan yang sedia ada.
“Pada tahap ini, saya tidak akan menjawab sebarang soalan kerana merasakan ia tidak akan membantu keadaan,” katanya.
Farid dan Diana berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3.