Aidil Aziz cuba watak komedi


Lebih setahun menyepi, Aidil Aziz kini kembali aktif menggilap semula karier lakonannya.

Mengharapkan karier lakonan dan perniagaan King Mangifera yang diusahakan sejak April tahun lalu terus berkembang, itu resolusi utama pelakon Aidil Aziz untuk tahun 2018.

Tahun 2018 juga disifatkannya sebuah permulaan baharu bagi memperjudikan semula nasib sebagai pelakon, sekali gus mempersiapkan diri dengan perancangan masa depan perniagaan mangga asam boi menerusi King Mangifera.
Pemilik nama lengkap, Mohd. Aidil Abd. Aziz itu juga ingin menimba pengalaman baharu dengan menyertai sitkom pertama terbitan FS Creative Sdn. Bhd., Mamu Mami Gosip setelah lebih setengah tahun menyepi akibat tuduhan mengedar dadah jenis ganja dan memiliki senjata berbahaya tidak lama dahulu.

Biarpun tidak memiliki banyak pengalaman menjayakan naskhah berbentuk komedi, Aidil tidak menjadikan ia sebagai kekangan untuk menggilap bakat dan meneruskan survival bergelar anak seni.

KOSMO!: Bolehkah Aidil Aziz kongsikan tentang perkembangan kerjaya seni sekarang?

AIDIL AZIZ: Saya baharu sahaja selesai penggambaran drama rantaian bertajuk Cinta Lima Madu dan pertama kali terlibat menjayakan sitkom Mamu Mami Gosip terbitan FS Creative Sdn. Bhd. iaitu produksi milik pelakon Fasha Sandha.

Memandangkan ia merupakan pengalaman pertama anda, bolehkah ceritakan tentang perkara tersebut?

Awalnya saya berasa agak gementar kerana tidak mahir dengan karya komedi. Secara kebetulan, drama rantaian Cinta Lima Madu itu juga merupakan naskhah komedi. Justeru, apabila mendapat tawaran menjayakan sitkom ini saya tidak berfikir panjang dan berusaha menjayakannya.

Tidak dinafikan agak kepenatan tetapi syukur pihak produksi memberi saya peluang apabila watak yang dilakonkan iaitu Cikgu Adi dikembangkan.

Pada awalnya, saya hanya muncul dalam 10 episod tetapi setelah mempamerkan prestasi baik, watak Cikgu Adi dikembangkan menjadi 15 episod.

Ia suatu perkara yang membanggakan dan saya tidak menyangka akan diberi peluang sebegitu.



Adakah selepas ini anda memilih untuk lebih banyak terlibat dalam naskhah berbentuk komedi?

Tidak dinafikan sekiranya kerap membawakan karakter sama, khalayak tentunya ingin melihat saya sentiasa membawakan watak sebegitu.

Namun, apa yang ingin saya ditonjolkan adalah kemampuan melakonkan pelbagai watak tidak mengira melodrama mahupun komedi.

Hampir 10 tahun berkecimpung dalam industri, rasanya telah tiba masa untuk saya melakukan perubahan. Saya juga mahu menimba pengalaman baharu dan meyakinkan penggiat seni serta penonton bahawa saya seorang pelakon versatil yang mampu membawa pelbagai karakter.

Sebagai pelakon, saya tidak boleh terlalu gembira berada di zon selesa. Disebabkan itu, peluang menjayakan sitkom ini tidak dilepaskan kerana ia pengalaman berbeza dan perkara baharu dalam kerjaya.

Adakah anda berpendapat naskhah komedi lebih mudah dilakonkan berbanding melodrama?

Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan tarikan tersendiri. Kesukaran itu bergantung pada skrip dan gandingan dalam naskhah tersebut kerana segalanya memainkan peranan penting.

Disebabkan sebelum ini saya kerap membawakan naskhah berbentuk melodrama, jadi ia tidak mempunyai masalah.

Namun, bagi komedi, saya memerlukan lebih banyak perbincangan untuk saling bertukar idea. Tambahan, saya tidak mempunyai pakej untuk menjadi seorang pelawak.

Sekiranya kerap membawakan watak komedi, tidakkah anda berasa bimbang akan menerima tawaran sama kelak?

Tujuan asal saya terlibat dalam naskhah komedi kerana ingin tampil kelainan buat penonton. Tidak bermaksud sekali terlibat dalam naskhah komedi, saya akan terus dalam genre tersebut.

Saya ingin memberikan kelainan dan mengkaji kemampuan diri. Kebimbangan menerima watak sama itu tidak ada kerana karakter komedi hanya sebuah eksperimentasi buat saya.

Memasuki tahun baharu, apakah harapan anda bagi 2018?

Setiap daripada kita pastinya mengharapkan perkara yang baik pada masa hadapan. Bagi kerjaya seni, saya berharap diberi lebih banyak peluang lakonan dan mencuba pelbagai karakter baharu.

Selain itu, saya sedang berusaha untuk mengembangkan perniagaan mangga asam boi atas talian sejak April tahun lalu, King Mangifera. Terima kasih kepada rakan kongsi, Ayie yang banyak membantu. Kesibukan jadual lakonan membuatkan saya kurang memberi tumpuan kepada perniagaan.

Disebabkan itu, pada tahun ini saya mengharapkan dapat seimbangkan lakonan dan perniagaan. Pada saya, lakonan itu penting kerana ia bukan sahaja menjadi sumber pendapatan tetapi turut menjadi medium pemasaran.

Post a Comment

Previous Post Next Post