Selamat tinggal Jonghyun


Saat ini pastinya menjadi masa paling sukar dan menyedihkan buat industri muzik Korea Selatan berikutan berita mengejutkan pemergian anggota SHINee, Jonghyun.

Siapa sangka penyanyi juga komposer itu pergi pada usia muda dan kehilangannya benar-benar dirasai semua. Seluruh dunia bercerita mengenainya dan mengucapkan takziah terutama buat keluarganya.

Walaupun pelbagai spekulasi timbul mengenai kematian mengejutnya, namun yang pasti berita itu membuatkan ramai peminatnya bahkan rakan selebriti berduka.

Agensinya, SM Entertainment turut membuka ruang kepada peminat memberikan penghormatan terakhir pada acara memperingati Jonghyun di Seoul Asan Medical center.

Acara itu dilangsungkan sejak kelmarin sehingga semalam dan beberapa fotonya yang dipilih ahli keluarganya turut digunakan pada acara itu serta diberikan kepada pihak media.



Ramai rakan artis termasuk Girls’ Generation, EXO, BTS, Epik High dan BoA kelihatan melawat tapak acara memperingati berkenaan. Ada antara mereka kelihatan meluangkan masa bersama anggota keluarganya sepanjang hari.

Lebih 500 peminat juga sanggup datang awal pagi demi memberikan penghormatan terakhir buat idola kesayangan mereka itu. Mereka bahkan menanti dengan penuh sabar di pintu masuk.

Beberapa peminat sempat berkongsi kesedihan mereka dan ternyata masih tidak percaya dengan pemergiannya.

“Lirik lagu yang ditulisnya menjadi lebih sedih sekarang apabila dibaca berulang kali. Bahkan surat wasiatnya kedengaran seperti lirik lagu yang ironinya membuktikan bagaimana berbakatnya dia,” kata seorang peminat wanita.

Terbaru, surat dihantar kepada kakaknya pula tertulis dengan kata-kata yang begitu menyentuh hati.

“Saya sudah beritahu kamu, bukan?. Adakah kamu tidak mendengar? Perkara yang kamu takboleh tangani tidak meninggalkan parut dalam hidup.

“Kehidupan penuh populariti bukan ditakdirkan untuk hidup saya. Itulah sebabnya kenapa ia sangat menyakitkan. Disebabkan saya terkenal. Kenapa saya pilih hidup ini? Ia sungguh kelakar.

“Apa lagi boleh saya katakan? Cakap saja saya sudah buat yang terbaik. Itu sudah memadai. Bahawa saya sudah berusaha. Meskipun kamu tidak mampu tersenyum, tapi jangan salahkan cara saya.

“Selamat tinggal,” tulisnya.

Jonghyun ditemui sudah tidak bernyawa di apartmennya pada 18 Disember lalu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis. Dia dilaporkan meninggal akibat kesesakan gas karbon monoksida.

Post a Comment

Previous Post Next Post