Altimet Buat saja petisyen!


Baru saja diumumkan layak melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), sudah ada kata-kata kurang enak didengar mengenai lagu Amboi dan penyanyi Altimet.

Namun, Altimet yang juga komposer tidak menganggap itu sebagai kontroversi, sebaliknya peleraian daripada isu yang ditimbulkan netizen.

“Orang ramai nak suarakan pendapat mengenai ketidakpuasan hati apabila Amboi layak ke AJL32. Namun, mereka tidak gunakan saluran yang betul untuk meluahkan pendapat.

“Sebab itulah saya tulis di Twitter, kalau betul-betul tak puas hati dengan kelayakan lagu itu dan nak pertikai, buat petisyen dan hantar kepada penganjur supaya ia digugurkan,” katanya.

Menurutnya, dia menghormati setiap pandangan yang dilontarkan netizen.

“Saya hormat setiap pendapat yang diberikan. Namun, saya bukan juri dan mereka yang lebih arif memilih,” katanya.

Ditanya mengenai persiapannya untuk mempersembahkan Amboi versi AJL32, Altimet memaklumkan ada beberapa elemen kejutan.

“Saya kini berbincang dengan beberapa artis dan ikon untuk dibawa naik ke pentas. Sekiranya berjaya, ada beberapa kejutan yang akan saya tampilkan,” katanya.


Beraksi di Konsert Noah

Baru-baru ini, Altimet menjadi artis jemputan yang membuat persembahan bersama band popular Indonesia, Noah.

Menurutnya, dia menerima jemputan itu seminggu sebelum konsert berlangsung dan ia pengalaman sangat berharga.

“Kalau tak dibayar pun, saya mahu buat persembahan. Siapa akan menolak kalau ditawarkan berkongsi pentas dengan Noah,” katanya.

Altimet turut meluahkan rasa bangga apabila kerjasama itu membuka ruang kepadanya mempelajari perkara baru.

“Mereka sangat berbakat. Mereka e-melkan bahagian rap saya yang digabungkan dengan lagu mereka dan saya cuba selitkan sendiri.

“Dari segi produksi, mereka sangat profesional. Alhamdulillah, banyak benda baru saya belajar. Kalau dulu, saya setakat menyanyikan lagu mereka di pusat karaoke, kini impian jadi kenyataan,” katanya.

Terbaru, Altimet juga menjalani latihan untuk beraksi di pentas teater muzikal Ola Bola The Musical yang akan berlangsung Februari depan.

“Dalam teater muzikal itu, saya memegang peranan sebagai Sarjan Ahmad. Selain berlakon dalam satu babak, saya juga sebagai jurulatih persembahan dan rap untuk pelakon lain.

“Satu lagi pengalaman baru buat saya apabila diberi peluang beraksi di pentas teater. Ternyata, ia kerjasama berpasukan yang sangat besar,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post