Meskipun lama berehat dari bidang seni, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Diusung Duka, Ilyka, masih lagi diingati peminatnya.
Mengakui sering ditanya tentang lagu baru dan perkembangan terkininya membuatkan penyanyi ini mahu aktif dan bersaing dengan penyanyi sedia ada.
“Sebelum ini saya memberi tumpuan kepada keluarga, terutama menguruskan anak yang masih kecil. Bila semua dah OK, inilah masanya untuk kembali aktif menyanyi," katanya yang sebelum ini hanya menyanyi pada masa lapang saja.
Ilyka atau Datin Zuraila Mohd Yassin yang pernah hadir dengan single Persembahan Cinta karya komposer Indonesia, kini memperkenalkan single terbarunya, My Love, ciptaan Hazami.
“Saya memang cukup minat lagu ciptaan Hazami sebab liriknya sangat bermakna. My Love memang istimewa. Rentaknya lebih kepada konsep R&B," katanya yang merancang mempunyai album penuh satu masa nanti.
Tidak mahu ketinggalan menjadikan media sosial sebagai medium berkongsi informasi dan perkembangan diri, Ilyka akan menggunakan ruang tersebut sebaiknya untuk mempromosi hasil seni selain mendekatkan diri dengan peminat.
“Single terbaru ini tidak hanya dipromosikan di radio sahaja, tapi turut dimasukkan ke YouTube, Spotify, Instagram, Facebook dan lain-lain,” katanya yang kini selesa berturban.
Menyifatkan diri bertuah kerana mempunyai suami yang cukup memahami, Ilyka bagaimanapun sentiasa cuba membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya agar kepercayaan yang diberikan tidak disia-siakan.
Wanita ini juga mengakui bertuah kerana suaminya, Datuk Ahmad Azizi Ali dan anak, Arisya, 14, sangat memahami serta menyokong kerjaya seninya.
“Kami pasangan yang simple, saling menyokong serta tahu tanggungjawab masing-masing dan sentiasa menjaga batasan.
“Berbanding dulu saya kini mempunyai lebih masa untuk memberi tumpuan kepada kerjaya seni. Anakpun dah besar dan bersekolah di asrama penuh. Kami pun sentiasa berhubung,” jelas Ilyka yang melihat minat anaknya cenderung ke arah bidang seni.