Kerjayanya sebagai cef selebriti bermula apabila menyertai program Cabaran 1001 Rasa Baba’s lebih 10 tahun lalu.
Kini, Cef Dr Kamarul tidak asing dalam kalangan peminat program masakan dan kulinari yang bersiaran di kaca televisyen.
Tidak hairanlah, Cef Dr Kamarul diberi kepercayaan mengendalikan Versus 1001 Rasa Baba’s yang bersiaran di TV3 sejak 26 Oktober lalu.
Cef Dr Kamarul mengakui memilih program dan jenama untuk bekerjasama sejak dulu.
“Apa yang penting ialah kelainan dan keunikan sesebuah program dan jenama boleh menjanjikan kualiti serta kepuasan dari pelbagai aspek kepada pelanggan.
“Program tajaan Baba’s sentiasa menjadi pilihan utama kerana jenama ini saya percayai sekian lama.
“Saya tumpang bangga kerana dikenali dan dikaitkan dengan jenama yang bukan saja popular di Malaysia malah di seluruh dunia,” katanya.
Cef Dr Kamarul berkata, dia ditawarkan mengacarakan program itu ketika menetap di Gold Coast, Australia.
“Saya persiapkan diri dari segi mental kerana perlu berulang-alik dari Australia ke Malaysia demi komitmen terhadap program ini.
“Saya tidak ada masalah kerana sudah beberapa tahun rutin saya begitu,” katanya.
Dari segi pengacaraan pula, kata Cef Dr Kamarul, dia banyak merujuk program realiti masakan luar negara terutama Australia.
“Kelainan program Versus 1001 Rasa Baba’s adalah tumpuan diberikan kepada bahan masakan, cara penyediaan dan hasil akhir disediakan setiap peserta.
“Program ini ada keunikan tersendiri kerana keseluruhan format yang mengabungkan kepakaran barisan cef bersama peserta dari pelbagai latar belakang,” katanya.
Gandingan mantap dengan Cef Adu
Selaku hos, Cef Dr Kamarul mengakui selesa digandingkan dengan Cef Adu kerana pernah bekerjasama sebelum ini.
“Kami mempunyai latar belakang dan pengalaman yang hampir sama iaitu mempunyai kelulusan secara formal dalam bidang kulinari dan banyak menimba pengalaman bekerja di luar negara.
“Oleh itu, kami mempunyai kelebihan untuk bergabung dengan lebih mudah dan sama-sama memberikan yang terbaik pada program ini,” katanya.
Mengulas prestasi dan pemilihan barisan peserta yang bertanding pula, kata Cef Dr Kamarul, mereka terbabit dari awal pencarian.
“Secara keseluruhannya, peserta terdiri daripada pelbagai golongan antaranya suri rumah, pelajar dan cef hotel.
“Memang menarik kerana masing-masing mempunyai idea dan kesungguhan untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Cef Dr Kamarul, setiap program TV ada cabaran tersendiri.
“Dalam program ini, saya perlu mengawal keadaan gelanggang yang gamat dengan sorokan penyokong. Kemeriahan itu bukan saja dapat menyuntik semangat kepada peserta tetapi juga boleh memberi tekanan kepada mereka dan mentor.
“Sebagai hos, kami perlu bijak menangani suasana itu agar berjalan lancar dan semua berpuas hati,” katanya.
Selain Versus 1001 Rasa Baba’s, Cef Kamarul turut laris sebagai duta. Dia juga terbabit dengan perniagaan kafe iaitu Kopitalk Coffee di Gold Coast, Australia sebagai ketua cef dan pemilik bersama.
Selepas bersiaran sebanyak 13 episod, program Versus 1001 Rasa Baba’s akan dimasukkan ke Facebook untuk fasa seterusnya. Kemudian, ia akan kembali semula bersiaran di TV3 untuk peringkat akhir bagi merebut hadiah utama bernilai RM10,000.
Ia ke udara setiap Khamis jam 5.35 petang bermula 26 Oktober lalu di TV3.
Penonton juga boleh menonton siaran ulangannya yang akan disiarkan pada Isnin berikutnya jam 5.35 petang.