Sufian Suhaimi, Elfira Elfira selamat bertunang


Selepas hampir lapan bulan bercinta, pasangan selebriti, Elfira Loy, 23, dan Sufian Suhaimi, 25, selamat melangsungkan pertunangan kira-kira jam 4 petang tadi di kediaman keluarga artis wanita berkenaan di Alam Damai, Cheras, di sini.

Majlis yang dihadiri sekitar 100 tetamu itu turut menyaksikan Elfira menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Sufian, sebagai simbolik ikatan pertunangan.

Keluarga kedua-dua artis berkenaan turut sepakat memilih Mac 2018 sebagai detik penyatuan mereka sebagai suami isteri.

"Bulan Mac boleh dikatakan terlalu istimewa buat saya dan Sufian. Malah, pada Mac depan juga genap setahun usia perkenalan kami. Alhamdulillah, semoga perancangan kami menuju ke gerbang perkahwinan dipermudahkan," kata Elfira.


Penyanyi Sufian Suhaimi dan Elfira Loy pada majlis pertunangan meraka di Alam Damai Cheras.

Menurut pelakon yang turut bergelar usahawan itu, Suhaimi mula menyatakan kesungguhannya dalam hubungan mereka pada hari ulang tahun kelahiran beliau, Mac lalu.

"Pada 8 Mac lalu, ketika saya genap berusia 23 tahun, dia tunggu di depan rumah tepat jam 12 tengah malam bersama jambangan 23 kuntum bunga mawar.

"Saat itu juga dia menyatakan kesungguhannya untuk serius dengan saya. Kiranya, itulah detik rasmi kami menjalinkan hubungan dengan lebih rapat. Lebih penting, dia tidak pernah membelakangkan ibu bapa dalam perhubungan ini.

"Ikutkan, kurang enam bulan lagi, kami akan berkahwin. Masa pun berjalan dengan begitu pantas. Mujur keluarga banyak membantu memudahkan urusan persiapan pertunangan dan selepas ini, majlis kahwin pula," kata Elfira.

Pada majlis itu, pasangan terbabit mengenakan dua persalinan dengan Elfira menggayakan rekaan Rizman Ruzaini, selain kelihatan jelita hasil sentuhan jurusolek, Najeeb Azami. Sufian pula menyarungkan baju Melayu daripada pereka sama, selain baju batik rekaan Fairuz Ramdan.

Sufian yang popular dengan lagu Terakhir berkata, kehadiran Elfira bagai melengkapkan lagi kehidupannya.

"Alhamdulillah, akhirnya hubungan kami bagai menuju ke arah penamat yang pasti. Lebih penting, keluarga juga merestui apa yang kami rencanakan. Di sebalik pelbagai ujian kecil yang pernah melanda hubungan ini, semuanya bagai memberi hikmah untuk terus memperkuatkan lagi ikatan antara kami.

"Saya bersyukur dipertemukan dengan insan sepertinya. Dia menjadi individu yang sering mencabar saya melakukan sesuatu yang dirasakan bagai mustahil. Pendek kata, dia sering memberi sokongan dan galakan untuk saya menjadi insan lebih baik.

"Kami juga tidak melihat tindakan berkahwin pada usia masih muda sebagai isu besar atau sesuatu yang jarang berlaku. Apa yang lebih penting, kami sama-sama memikul tanggungjawab selepas berkahwin nanti," kata Sufian.

Post a Comment

Previous Post Next Post