Sangeeta Krishnasamy raih Pelakon Wanita Terbaik APFKL 2017


Belum reda keterujaan dirinya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29, Sangeeta Krishnasamy sekali lagi dipilih memenangi kategori sama pada Anugerah Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2017 (APFKL2017) yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

Pelakon utama filem Adiwira Ku itu berkata, beliau sungguh tidak menyangka dalam tempoh singkat dirinya diberikan kegembiraan berganda dengan kejayaan pada dua anugerah perfileman.

"Saya berasa ia seperti betul-betul magis. Ketika saya masih lagi mengecapi detik indah kejayaan pada FFM29, kini saya menerima pula berita menggembirakan ini.

"Saya maklum mengenai kemenangan ini pun menerusi paparan skrin yang dihantar seorang teman, selain membacanya di Twitter. Saya sebenarnya baru saja pulang daripada aktiviti mendaki gunung di Kota Kinabalu.

"Saya amat bersyukur dan kejayaan ini pastinya bukan milik saya semata-mata. Ia kemenangan bersama seluruh pasukan filem Adiwira Ku," katanya yang dihubungi sebentar tadi.

Ditanya mengenai desas-desus filem berkisar pada kegigihan seorang guru Bahasa Inggeris itu bakal disambung, Sangeeta berkata, beliau belum mendapat kepastian berhubung perkara itu.

"Rasanya lebih baik perkara itu ditanyakan kepada pihak penerbit. Namun, jika benar ia menjadi realiti, saya tentu sangat gembira," katanya.

Selain Sangeeta, APFKL2017 turut mengangkat nama Saw Teong Hin sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem You Mean The World To Me; Zahiril Adzim (Pelakon Lelaki Terbaik / filem Pekak); Amerul Affendi (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik /filem Pekak); dan Datin Sofia Jane (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik / filem Hanyut).

Post a Comment

Previous Post Next Post