Irwansyah Sedia hijrah ke Malaysia


Sedekad yang lalu, nama Irwansyah cukup popular bukan sahaja di Indonesia, bahkan sehingga ke beberapa negara Asia Tenggara lain, termasuklah Malaysia.

Namun siapa sangka, akui lelaki berusia 32 tahun ini, Malaysia sudah diibaratkan seperti rumah keduanya, apatah lagi, dia sering berulang alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur sejak 10 tahun lalu atas komitmen kerja.

Kini, aktor yang juga penyanyi dan terkenal dengan lagu seperti Pencinta Wanita, Kamelia dan Kutunggu Jandamu ini mengakui sedia untuk berhijrah ke Malaysia.

Apatah lagi, kerjayanya kini kembali mekar di Malaysia dan Irwansyah bakal muncul menerusi drama terbitan produksi Malaysia, Dia.

Selain itu, dia juga merancang mengembangkan perniagaan kek yang diusahakan bersama rakan baiknya, Laudya Cynthia Bella, yang juga isteri Engku Emran.

“Kalau ikutkan Malaysia sudah seperti rumah kedua saya dan dulu ketika saya masih aktif menyanyi, saya kerap berulang alik ke sini sehingga empat kali sebulan kerana memenuhi undangan.

“Begitu juga dengan isteri saya, dia ada mengikuti saya ke sini semasa penggambaran drama Dia dan Zaskia terus jatuh cinta dengan suasana di Malaysia. Malah selepas kunjungan ke sini bagi memeriahkan majlis pernikahan Bella, dia ada bertanya bila lagi mahu ke mari.

“Bella juga sudah menetap di sini, secara tak langsung kami ada juga berbincang untuk melebarkan perniagaan kek, Bandung Makuta ke sini nanti.

“Jadi tengoklah macam mana nanti. Tapi kalau ada rumah hendak dijual beritahu saya ya,” ujarnya berseloroh ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media drama Dia.

Bermula 14 Oktober nanti, Irwansyah bersama barisan pelakon hebat tanah air seperti Janna Nick, Izara Aishah dan Adi Putra, Zamarul Hisham dan ramai lagi akan muncul menerusi drama 60 episod arahan Eoon Shuhaini di slot Akasia, TV3.

Dalam drama tersebut, Irwansyah memegang watak sebagai Adit, yang mencintai Aira (Janna). Namun kemunculan Emelda membuatkan Adit terpaksa meninggalkan Aira dan mendirikan rumah tangga bersama Emelda.

Tambah Irwansyah, dia terharu dan terkejut apabila masih ada yang mengenalinya di sini dan lagu nyanyiannya juga masih diputarkan di Malaysia.


“Saya pernah naik teksi dan pemandu itu kenal saya. Terharu juga dan tak sangka masih ada orang ingat dan mengenali saya.

“Jadi saya harap drama ini nanti sedikit sebanyak mengubati kerinduan peminat di sini,” katanya yang tidak menolak untuk mengeluarkan single baru lagi selepas ini.

Dalam pada itu, ditanya dakwaan yang mengatakan dia bersetuju menerima tawaran membintangi Dia kerana dibayar RM1 juta, Irwansyah pantas menafikan perkara itu.

“Kalau betul Alhamdulillah. Tapi tidaklah sebanyak itu. Apa yang boleh saya katakan bayarannya berbaloilah dengan tempoh penggambaran selama tiga bulan.

“Bagaimanapun faktor utama saya terima tawaran drama ini bukanlah kerana bayaran, tapi kerana pengalaman baru untuk saya apabila berpeluang bekerja dengan produksi dan teman-teman di Malaysia.

“Dulu ada juga tawaran dari sini, tapi atas faktor jadual kerja yang padat membuatkan saya tidak berkesempatan untuk menerima.

“Kebetulan kini saya banyak masa terluang kerana memberi fokus pada perniagaan, jadi dapatlah saya terima tawaran di sini,” jelasnya yang melihat tidak banyak perbezaan cara kerja antara produksi Malaysia dan Indonesia.

Pegang syarat isteri

Sementara itu, ditanya mengenai babak romantis yang perlu dijayakan bersama Janna dan Izara, Irwansyah berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah menjayakan babak romantis, namun berpegang dengan syarat isterinya yang tidak mahu dia berpelukan mahupun bercium dengan gandingannya.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah bergandingan dengan kedua-dua pelakon. Tetapi dari awal lagi saya berpegang dengan syarat Zaskia yang tidak mahu saya berpelukan atau bercium. Cuma tak kisah kalau ada bersentuhan sedikit.

“Sejak awal lagi, saya sudah berbincang dengannya mengenai drama ini dan dia memahami kerja saya.

“Lagipun sebagai suami, saya tahu batas-batas saya dan produksi juga tidak meminta untuk melakukan babak berlebihan,” jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post