Amylea Azizan terus susun langkah


Meski pun tidak berjaya menempatkan diri sebagai antara barisan finalis AF Megastar yang sudah pun melabuhkan tirainya baru-baru ini, namun Amylea Azizan tidak ralat dengan situasi ‘turun naik’ dalam industri seni tanah air.

Sebaliknya, bintang berasal dari Alor Setar, Kedah ini akui sebagai anak seni, dia perlu kuat semangat, bersikap positif dan terus mara melangkah demi survival seni.

Lebih satu dekad aktif di arena hiburan tempatan, bekas pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) pada 2005 ini tidak mudah mengalah memandangkan apa yang dilakukan selama ini adalah berbekalkan rasa cinta dan minat terhadap muzik.

“Saya akui, ada di kalangan peminat sedih bila tidak berjaya disenaraikan sebagai top 12 di AF Megastar lalu. Ada kata saya ada potensi dan sebagainya. Apa pun saya percaya pada rezeki dan meskipun tidak terpilih, situasi tersebut tidak pernah melemahkan semangat.

“Lebih-lebih lagi rasa bangga bila lagu hasilan saya berjudul Selamanya dendangan Idayu mendapat maklum balas positif pencinta muzik. Itu lebih bermakna bagi diri saya setakat ini. Rasa terharu bila teman rapat yang dikagumi dapat sampaikan lagu tersebut dengan baik. Alhamdulillah dan tahniah buat Idayu atas kemenangannya pada malam final lalu,” kongsi Amylea.

Hasil skrip, single baru

Sambil menaruh harapan besar lagu Selamanya itu mampu beri peluang kedua buat rakan seperjuangan di AF3 itu, Amylea pada masa sama turut susun beberapa projek seni terbaru.

“Sejujurnya, saya sudah terlibat di dalam penghasilan lagu sejak 10 tahun lalu dan sehingga kini, saya sudah pun hasilkan lebih 25 lagu buat penyanyi lain. Alhamdulillah atas kepercayaan yang diberikan. Sementara untuk single sendiri pula, saya rancang untuk lancar lagu tersebut tahun hadapan,” beritahu Amylea.

Ujarnya lagi, lagu tersebut merupakan lagu duet dan ikutkan perancangan, dia bakal rakam lagu itu bersama rakan baik yang juga bekas pelajar AF. Selain itu, penyanyi genit ini juga turut mengembangkan bakat di dalam penghasilan skrip drama dan filem.

Tambah bintang yang bakal menginjak usia 31 tahun pada 26 November depan ini, dia sibuk menyiapkan skrip untuk drama seram yang bakal menjalani penggambaran di Indonesia tidak lama lagi.

Malah, peluang diterimanya untuk menghasilkan skrip drama seram adalah peluang dinanti-nantikan kerana dia sendiri peminat genre berkenaan.

“Saya terlibat bidang penulisan skrip drama dan filem sejak dua tahun lalu. Pada awalnya saya ragu-ragu juga untuk hasilkan skrip kerana kurang pengalaman. Bagaimanapun, atas dorongan ramai pihak, akhirnya saya berani untuk ketengahkan karya saya untuk diterjemahkan di layar televisyen. Selain itu, saya sudah turut menghasilkan sebuah skrip kisah cinta untuk sebuah filem,” katanya penuh semangat

Kagumi semangat Idayu

Sementara itu, Amylea yang dulunya cukup sinonim menerusi lagu Ku Berserah tidak putus-putus merakamkan ucapan tahniah buat Idayu. Terangnya, peluang kedua yang diberi pencinta muzik Malaysia terhadap penyanyi asal Kelantan itu kesempatan yang tidak boleh disia-siakan.

“Saya tidaklah harapkan terhadap lagu Selamanya nyanyian Idayu. Sebaliknya, besar lagi harapan saya untuk melihat kerjaya dia berkembang dengan lebih baik selepas ini,” luah Amylea.

Post a Comment

Previous Post Next Post