Putri Hanan Tak sangka terpilih!


Bakat lakonannya mula digilap pengarah terkenal Sabri Yunus menerusi sesi uji bakat projek filem televisyen (FTV) Che Pa kira-kira dua tahun lalu.

Menurut pendatang baru ini, Putri Hanan Ahmad Shukri, 21, dia bersyukur terpilih melakonkan watak Bibah dalam Che Pa.

“Saya datang ke sesi uji bakat dalam keadaan kelam-kabut kerana baru habis kuliah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam.

“Mujur ada kawan yang tolong hantarkan saya dengan motosikal ke Ampang ketika itu,” katanya.

Putri Hanan juga tidak menyangka terpilih dalam uji bakat itu kerana ramai calon lain yang lebih cantik dan bergaya.

“Saya tampil selekeh dengan memakai baju kuliah, muka berjerawat tanpa solekan dan rambut serabai ketika uji bakat itu.

“Ramai calon yang datang uji bakat untuk watak Bibah adalah model dan ‘insta famous’ termasuk pelakon Mira Filzah.

“Namun, rezeki ternyata berpihak kepada saya untuk berlakon dalam Che Pa,” katanya.

Putri Hanan ditemui ketika pratonton Che Pa bersama pihak media yang berlangsung di The Gardens, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas mengenai wataknya, Putri Hanan bertuah kerana dapat bergandingan dengan Namron yang baru dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 menerusi filem Redha.

“Bibah adalah anak kepada kepada Jaafar Kasim atau Che Pa lakonan Namron. Che Pa seorang lelaki lembut dan penari hadrah yang berpakaian serta bersolek seperti wanita,” katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik dan berasal dari Alor Setar, Kedah ini juga mendapat bimbingan daripada Sabri untuk menjiwai wataknya dengan baik.

“Selain pengarah, Namron juga banyak membantu saya menjiwai watak Bibah seperti dikehendaki skripnya. Antara babak sukar ialah ketika perlu menjiwai watak Bibah yang menangis sambil menumbuk padi,” katanya.

Sharifah Amani sebaga idola

Sebagai pelakon baru, Putri Hanan mengakui masih banyak kelemahan untuk memperbaiki prestasi lakonan sedia ada.

“Saya menjadikan pelakon hebat Sharifah Amani sebagai idola dan sumber inspirasi dalam bidang lakonan.

“Saya juga banyak menimba ilmu lakonan daripadanya dan dia juga tidak lokek ilmu untuk berkongsi dengan pelakon baru,” katanya.

Selain Che Pa, Putri Hanan turut berlakon dalam drama bersiri Kelip-Kelip Kota London terbitan Zeel Production yang akan ditayangkan di Slot Zehra TV3 tidak lama lagi.

“Saya berganding dengan Hafidz Roshdi dan Hanna Aqeela dan penggambaran drama itu juga dilakukan di London,” katanya.

Walaupun terbabit dalam bidang lakonan, Putri Hanan yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan teater di UiTM tetap mengutamakan pelajarannya.

Menurut anak didik, pelakon, pengarah dan pensyarah teater Norzizi Zulkifli ini, dia mahu membuka kelas lakonan pada masa depan.

“Saya bakal menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun lagi. Buat masa ini, saya ingin memberi fokus pada pengajian terlebih dulu,” katanya.

FTV Che Pa terbitan Zeel Production mulai bersiaran menerusi saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) bermula 21 September lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post