Percubaan Hazama berjaya tarik perhatian


Minggu lalu kecoh dengan cerita gelandangan berbakat besar menyanyi secara terbuka di sekitar Bukit Bintang Kuala Lumpur.

Jika diteliti memang orang tak akan sangka bahawa gelandangan itu merupakan penyanyi terkenal. Namun apabila dia menyanyi beberapa lagu, barulah kita boleh dapat tangkap bahawa suaranya ada iras-iras Hazama.

Ya, gelandangan itu adalah penyanyi Hazama.

Hazama yang dihubungi mengakui bahawa dia yang menyamar sebagai gelandangan. Hazama memberitahu bahawa sejak video itu tersebar, ramai yang cuba menghubunginya dan mahukan penjelasan.

"Namun saya buat diam sahaja sebab saya sehingga masa yang sesuai," jelasnya membuka cerita.

Setelah bertalu-talu panggilan dan pertanyaan, akhirnya Hazama bersedia mendedahkan cerita sebenar. Lengkap dengan video yang dibuat khas untuk projek rahsia ini.

Menurut Hazama, idea penyamaran ini merupakan ideanya bersama syarikat pengurusan baru, team Rocketfuel untuk mencuba eksperimen baru.

“Dalam eksperimen ni, apa yang saya nampak masyarakat Malaysia sebenarnya memang fokus pada bakat, tak fikir rupa pun.

“Tujuan lain saya juga ingin dapatkan formula, bagaimana mendapatkan perhatian netizen terhadap muzik.

“Saya dapat kesimpulan iaitu talent over beauty.

"Lagipun di samping saya hiburkan di pentas-pentas besar, kali ini apa salahnya salah saya cuba untuk hiburkan di pentas yang berbeza daripada sebelum ini," katanya.


Ditanya mengenai sesetengah netizen yang masih mampu mengecamnya biarpun tampil berbeza, Hazama mengakui terharu dengan penerimaan peminat.

“Bagi saya, secara peribadi selama 10 tahun dalam industri hiburan sebagai penyanyi, nampaknya ada pencapaian.

“Saya jadi sesiapa pun, netizen tetap tahu diri saya. Saya rasa saya berada dalam hati netizen.

“Saya pergi mana-mana orang kenal, tapi masa saya dekat Bukit Bintang saya nampak orang takut nak dekat dengan saya.

“Lepas saya menyanyi, saya nampak feedback daripada orang ramai yang suka.

“Kepuasan saya sebagai penyanyi juga lebih puas disebabkan tepukan dan sorakan yang diberikan saya rasakan ikhlas oleh kerana mereka tidak mengenali saya.”

“Mungkin selama ni kat pentas, floor manager suruh tepuk (ketawa),” katanya.

Gempal nampak kejujuran Hazama di sini. Oleh sebab itu, jika ada dakwaan yang mengatakan Hazama sengaja mencari publisiti, Gempal yakin itu tidak langsung ada dalam senarai kepentingan Hazama. Ini kerana dia sendiri sudah dikenali ramai.

Gempal pun lihat perkara ini ada potensi untuk jangka masa panjang.

Seperti kata Hazama, dia bersedia untuk meneruskan projek ini pada masa akan datang bagi tujuan mengutip dana untuk tujuan kebajikan.

“Di samping saya menghibur, saya boleh juga buat kebajikan. Ini salah satu yang saya boleh sumbangkan. Lagipun saya bukan orang senang.

“Sekiranya ada pihak yang nak support, Insya-ALLAH kita boleh bawa perkara ini ke tengah,” jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post