Rody (Kristal) dan Nur Izwani bakal bertunang dalam masa terdekat.
Antara penyebab penjaga gol futsal wanita kebangsaan iaitu Nur Izwani Azman jatuh hati kepada Rody (Kristal) kerana gitaris itu bukan pemuda yang suka ‘mengayat’.
Nur Izwani Azman atau lebih mesra dipanggil Deqno, 30, berkata Rody, 31, juga lelaki pertama dalam hidupnya yang benar-benar berani untuk melamar dia berbanding orang lain yang hanya manis mulut.
"Dialah lelaki pertama yang benar-benar berani 'melamar' saya untuk lebih serius. Sebelum ini ramai yang hanya pandai cakap. Dia juga bukan lelaki yang jenis sweet talker atau suka mengayat,” ujar Nur Izwani kepada mStar Online.
Kata Deqno, dia selesa berkawan dengan Rody selain pemuda itu juga selalu hadir memberi sokongan ketika dia menyertai pertandingan futsal. Kedua-duanya saling memahami walaupun bidang berbeza.
Nur Izwani atau lebih dikenali sebagai Degno.
Menurut, Deqno dia tidak tahu mengenai perancangan Rody yang ingin menghantar rombongan meminang dalam tempoh terdekat ini.
"Saya tidak tahu mengenai perkara itu. Mungkin ingin membuat kejutan. Bagaimanapun sekiranya betul, saya sedia menerimanya.
"Buat masa sekarang, saya dan dia dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing. Dan keluarga saya tahu kami berkawan rapat," jelasnya yang memang bahagia dengan kehadiran Rody.
MStar Online pada Khamis melaporkan, Rody melamar kekasihnya itu menerusi laman sosial Instagram dan merancang untuk menghantar rombongan meminang dalam masa terdekat.
Dalam lamaran itu Rody mencabar Deqno mengulang siar (repost) status mesejnya jika benar kekasihnya itu sudi menerima lamaran berkenaan.
Cabaran itu akhirnya disambut oleh Deqno dan peminat mereka mula mengucapkan tahniah pada status yang dikongsi.