Norman Hakim, Buang ego, perkasa institusi keluarga


Satu masa dahulu, kisah rumah tangga pelakon Norman Hakim pernah menjadi perhatian. Sekali imbas, boleh dikatakan rata-rata sudah tahu perjalanan kisah pelakon yang popular dengan drama bersiri Gerak Khas itu mendirikan rumah tangga dengan aktres Abby Abadi, bercerai dan kemudian menjadikan pelakon Memey Suhaiza sebagai teman hidup.

Biarpun pernah kecundang dalam episod awal hidupnya dalam melayari bahtera rumah tangga, itu bukanlah kayu pengukur untuk menilai erti kebahagiaan. Pasti, setiap apa yang berlalu ada hikmah di sebaliknya.

Buktinya, hari ini institusi keluarga yang dibina pelakon berusia 41 tahun itu antara yang sering dijadikan contoh dan menerima pujian terutamanya dalam kalangan netizen.

Mungkin tidak semua orang mampu duduk semeja bersama bekas isteri, isteri dan anak-anak seperti yang sering ditunjukkan Norman di laman sosial, tetapi itulah hakikat erti sebuah pengorbanan. Bukan mudah, tetapi bukan juga mustahil.

“Pengorbanan itu memang luas. Bagaimanapun kalau kita kecilkan skop itu untuk keluarga kami ini, ia lebih kepada membuang ego kita dan muhasabah diri dalam menjaga kedamaian, ketenteraman dan ukhuwah antara satu sama lain demi memastikan institusi keluarga terus terpelihara,” katanya.

Apatah lagi apabila cahaya mata sulungnya, Mohamed Danish Hakim, 14, berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran, itu sudah menjadi permulaan yang baik dalam institusi keluarga yang dimiliki pemilik nama sebenar, Mohamed Norhakim Zaidon itu.

Ketepikan ego


Pasangan ini berharap media sosial boleh menjadi medium dalam berkongsi manfaat kepada umum.

“Bukan sengaja nak menunjuk-nunjuk, cuma itulah pengalaman saya dan sahabat saya merangkap bekas isteri. Selepas berpisah, kita berusaha menjadi sahabat baik demi kepentingan anak-anak. Kita bawa segmen baharu. Kita perlu fleksibel. Apa juga perkara yang ingin kita mulakan, perlu beri perhatian dan jaga institusi keluarga.

“Kita juga melalui fasa biasa dan sering dilalui pasangan yang sudah bercerai, tetapi adakah kita mahu menjadikan anak sebagai mangsa? Atas sebab itu, kita perlu buang ego yang ada dalam diri dan belajar untuk pupuk kesedaran bagi meletakkan keutamaan kepada anak-anak,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.

Katanya, kehidupan dimilikinya pada hari ini bukanlah atas usaha dirinya seorang, sebaliknya usaha semua insan sekelilingnya yang sama-sama cuba memberikan terbaik buat seluruh ahli keluarga.

“Bukan saya seorang yang berusaha, tetapi ini merupakan hasil usaha satu keluarga. Persekitaran kita memainkan peranan penting. Apabila masing-masing memainkan peranan, kita akan jadi saling melengkapi apabila sama-sama menyumbang dan sama-sama bertanggungjawab,” kata bapa kepada lima orang cahaya mata itu.

Kata Norman lagi, hubungan kekeluargaan erat yang dikongsikan di laman sosial bukanlah untuk menunjuk. Bagaimanapun, medium itu dilihat sebagai satu tempat untuk dia berkongsi kepada umum demi manfaat bersama.

“Kita tak ada niat untuk pamer itu semua. Pada saya, apabila bercakap mengenai perkongsian melalui media sosial perlulah seiring dengan niat kita. Bukan ingin menunjuk, tetapi kalau boleh mahu sama-sama dapat manfaat. Mungkin kalau ada yang cuba ikut, secara tidak langsung perkara yang baik kita dapat pahala dan berkat.

“Mungkin kalau tidak semua, jika ada 10 peratus yang boleh menerima perkongsian itu dan praktikkan, kita pun sama-sama dapat ganjaran dari-Nya,” kongsinya.

Memey utamakan keluarga

Bagi Memey pula, sebagai isteri, dia juga perlu mainkan peranan dalam membantu menguruskan rumah tangga. Atas sebab itu jugalah, dia sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga tercinta.

“Apabila sudah memiliki keluarga sendiri, sudah pasti keutamaan perlu diberikan kepada suami dan anak-anak. Lebih-lebih lagi selepas bergelar ibu, apa yang saya boleh katakan memang kehidupan bertukar 360 darjah.

“Ia menjadikan saya lebih matang dalam mengharungi kehidupan seharian. Apa sahaja yang ingin dilakukan, keluarga perlu diberikan fokus,” katanya. Atas sebab itu jugalah, kata Memey, dia mempunyai kekangan untuk terus bergerak aktif dalam dunia lakonan.

Dek kelibatnya sudah jarang muncul di kaca televisyen, kata pelakon drama Tarbiah Cinta itu, ada yang menyangkakan dia sudah meninggalkan terus industri hiburan. Sungguhpun begitu, hakikat sebenar, Memey menyimpan hasrat untuk kembali aktif beraksi di hadapan kamera.

“Saya sebenarnya tidak berhenti berlakon pun. Ada juga pihak produksi yang menelefon bertanyakan hal tersebut sama ada saya sudah tidak berlakon lagi. Mereka sangkakan saya sudah tidak mahu berlakon.

“Bukan apa, buat masa ini saya memang tidak ada ambil tawaran lagi. Tambahan pula, anak-anak masih kecil. Jadi, saya pun perlu ambil kira banyak faktor sebelum menerima satu-satu tawaran. Lagipun, sekarang pelakon juga sudah semakin ramai, mereka pun ada banyak pilihan yang mengikut kesesuaian,” kata pelakon berusia 29 tahun itu.

Ditanya mengenai rutin hidupnya, kata ibu kepada dua cahaya mata itu, dia kini sibuk menguruskan butik perniagaan pakaian di bawah jenamanya sendiri iaitu Meylana.

“Di butik kami mempunyai pekerja juga. Cuma, adakalanya saya perlu duduk di pejabat juga untuk uruskan hal-hal berkaitan bisnes,” katanya yang dikurniakan anak, Muhammad Darwishz Hakim, 4, dan Muhammad Dirkhriz Hakim, 2.

Program

Dalam perkembangan lain, pasangan ini juga muncul menerusi program berjudul Khalifah Junior di saluran Astro Oasis. Menurut Norman, rancangan tersebut merupakan sebuah program berbentuk ilmuan yang bermanfaat sebagai rujukan buat golongan ibu bapa dan juga anak-anak.

“Apa yang saya nampak, program ini meletakkan sasaran kepada golongan kanak-kanak dan remaja berusia empat hingga 18 tahun. Menerusi program televisyen ini, orang ramai akan didedahkan secara teori dan praktikal.

“Bagaimanapun, cara penyampaian ini dilakukan secara santai sahaja dan tidak formal.

“Menariknya, program ini turut membabitkan saya sekeluarga bersama anak-anak. Satu rezeki pada saya. Lagipun sebagai ibu bapa, kita pun dapat belajar sama mengenai kisah-kisah nabi yang dipaparkan yang kita boleh aplikasikan dalam kehidupan seharian,” kongsinya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post