Hannah Delisha Populariti beri impak besar


Penglibatannya menerusi drama bersiri, Mencintaimu Mr Photographer nampaknya memberi impak terhadap kerjaya pelakon baru, Hannah Delisha.

Masakan tidak, kerana gandingannya bersama Syafiq Kyle, nama bintang berusia 21 tahun ini semakin dikenali ramai dan pengikut di laman sosial juga meningkat secara mendadak.

Namun sama seperti selebriti lain, Hannah juga tidak terlepas daripada kecaman netizen.

Jelas Hannah, komen berbaur rasis turut diterima hanya kerana dia rakyat Singapura yang bekerja di sini.

"Kalau ikutkan saya jarang baca komen negatif. Tapi ada juga antara komen yang sempat saya baca dan meninggalkan kesan kepada saya.

"Saya tak kisah andai ada yang meninggalkan komen mengenai lakonan dan menganggap saya masih kayu kerana komen sebegitu sebagai teguran untuk perbaiki diri.

"Tapi saya terkesan bila ada yang meninggalkan komen berbaur rasis dan mempertikaikan mengapa saya berlakon di Malaysia, sedangkan saya berasal dari Singapura," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran produk penjagaan wajah Guerisson Red Ginseng di Sasa IOI Putrajaya baru-baru ini.

Mengakui sedih dengan keadaan itu namun Hannah tidak mahu terlalu memikirkan komen berkenaan kerana percaya luasnya rezeki ALLAH SWT selain mahu memajukan diri mencari rezeki untuk keluarga.

Tambah Hannah, di sebalik komen negatif itu, jumlah pengikut bertambah secara mendadak, semenjak dia membintangi drama arahan sutradara Eyra Rahman itu.

"Sebelum membintangi drama berkenaan, pengikut saya di laman sosial hanya ada 20,000 sahaja, kemudian beberapa minggu sebelum drama itu disiarkan, ia meningkat kepada 50,000. Jumlah itu terus bertambah sehinggalah kini saya mempunyai lebih 638,000.

"Bagaimanapun saya sering mengingatkan diri supaya tidak alpa dengan jumlah pengikut yang diterima dan sentiasa menjadi diri sendiri," katanya.

Hannah juga akan sentiasa komited kerana mahu terus berada di dalam industri seni.

Drama ke filem

Dalam pada itu, berkongsi pendapatnya mengenai produk Guerisson Red Ginseng, Hannah berkata, dia mencuba sendiri produk itu dan berpuas hati dengan keberkesanannya.


“Saya bukan duta produk ini tapi diberi peluang mencuba selama sebulan. Saya rasa perbezaan pada kulit wajah membuatkan wajah bebas minyak, bebas jerawat selain lebih berseri dan anjal," katanya.

Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Hannah berkata, dia akan tampil dengan single keempat berjudul Esok Masih Ada dalam masa terdekat.

Selain itu, Hannah sudah mula memasuki set penggambaran filem pertama lakonannya, Langsuir arahan pengarah berkaliber, Osman Ali.

"Tidak sangka selepas membintangi drama pertama, saya terus dapat peluang membintangi filem. Memang agak teruja sebab berpeluang bekerja di bawah pengarahan abang Osman," ujarnya.

Hannah berkata, dia sendiri terkejut dengan tawaran itu tetapi pasti, pemilihannya berdasarkan kepercayaan pengarah tersebut.

"Selama ini saya hanya suka menonton filem seram dan tidak sangka berpeluang berlakon dalam filem bergenre sama," katanya yang turut menghadiri kelas lakonan bagi memantapkan lagi lakonannya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post