Fee Haiqal mahu memberi keutamaan kepada bidang nyanyian terlebih dahulu.
Anak kepada penyanyi Noraniza Idris iaitu Fee Haiqal menegaskan dia tidak menggunakan nama ibunya untuk berada dalam industri muzik tanah air.
Fee atau nama sebenarnya Mohd Alfeeq Haiqal Mohammad Fauzi, 24, berkata kehadiran dia di dalam industri ini sekadar memenuhi hobinya sahaja.
"Saya tidak pernah menggunakan nama ibu sebagai batu loncatan untuk berada dalam industri muzik ini.
"Apa yang saya lakukan ini adalah kerana hobi dan minat pada muzik. Bukan kerana saya anak kepada Noraniza Idris.
"Bagi saya, jika satu hari nanti saya tidak berjaya dalam bidang ini tak akan rasa kecewa sebab ia sekadar hobi," kata Fee kepada mStar Online.
Fee ditemui ketika majlis pelancaran single terbaru berjudul Aku Mencari di restoran Trust Issue, Cheras pada 8 September lalu.
Fee tidak mahu menumpang populariti ibunya untuk berada di dalam industri seni.
Dalam pada itu, Fee yang bekerja sebagai jurulatih peribadi di sebuah pusat kecergasan masih mengutamakan bidang tersebut biarpun dalam masa yang sama mahu mengembangkan karier sebagai penyanyi.
"Buat masa ini saya fokus pada bidang nyanyian terlebih dahulu. Tapi masih utamakan karier sebagai jurulatih peribadi.
"Lagipun saya hanya buat separuh masa sahaja. Kalau ikutkan kerjaya sebagai penyanyi ini saya lakukan sepenuh masa," ujarnya.
Tambah Fee lagi, dia akan mengeluarkan single setiap selang dua tau tiga bulan supaya lagunya sentiasa ada di dalam industri muzik.
"Insya-Allah saya sudah ada lagu seterusnya untuk dilancarkan. Mungkin dalam masa dua atau tiga bulan lagi akan ada lagu baru keluar.
"Sekarang ini saya fokus untuk mempromosikan lagu Aku Mencari terlebih dahulu," katanya.