Fathia Latiff Jangan fitnah saya


Selepas diasak kritikan netizen gara-gara tersebarnya video aksi 'panas' disusuli kontroversi digugurkan daripada produksi drama La Luna, Fathia Latiff akhirnya bersuara.

Sebentar tadi, aktres jelita itu membuat rakaman langsung di laman Instagram meluahkan emosinya ketika ini.

Fathia memberitahu:"Apabila banyak fitnah timbul saya sedih. Saya hanya manusia biasa. Saya cuba nak tunjuk dan jadi baik. Tapi saya tak berjaya. Saya sendiri masih belajar.

"Maafkan saya. Jangan fitnah saya. Apa yang saya alami, hanya Allah yang tahu," katanya sambil menitiskan air mata.

Sejak beberapa hari lalu, tersebar rakaman video melalui aplikasi Bigo Live milik seorang pelakon baharu yang antara lain memaparkan dirinya bersama seorang wanita yang terdedah sebahagian daripada tubuhnya.



Rakaman video itu mencetuskan kontroversi kerana wanita terbabit dikatakan mirip Fathia.

Fathia terus hangat apabila pembabitannya dalam drama La Luna terbitan TenView Sdn Bhd ditamatkan serta merta.

Produksi mengambil keputusan itu atas alasan Fathia mempunyai masalah salah laku hingga menyukarkan penggambaran.

Dalam soal bertudung dan menjadi insan yang lebih baik, pelakon drama Ariana Rose ini berharap tidak diberi tekanan.

"Jangan beri saya tekanan. Saya masih belajar mengenai Islam dan Tuhan. Jangan terus fitnah saya...Tak baik," katanya.

Usaha menghubungi Fathia sejak semalam gagal sehinggalah dia membuat siaran langsung melalui Instagram.

Pelakon bertudung itu juga memuat naik gambar dengan keterangan I'm Only Human. Namun, ruangan komen ditutup.

Post a Comment

Previous Post Next Post