Emma Maembong kerap jatuh sakit sehingga masuk ke hospital.
Menerusi satu rakaman video, pelakon Emma Maembong memberitahu dia sedang mengalami masalah migrain yang teruk.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 25, berkata sakit kepala itu telah menyebabkan matanya merah sebelah.
"Yang tanya saya sakit apa, saya migrain yang sangat-sangat teruk sampai mata saya pun merah sebelah.
"Sakit bibir yang tidak tahu kenapa, sakit tekak, selsema, demam dan juga batuk," kata Emma menerusi pengkongsiannya di akaun @official_kamalemma pada Rabu.
Ia merupakan akaun Instagram yang diwujudkan untuk Emma Maembong dan Kamal Adli.
Rata-rata peminatnya meminta Emma untuk sentiasa banyakkan minum air kosong bagi menghilangkan sakitnya itu.
Malah, mereka juga mendoakan agar dia cepat sembuh.
"Minum banyak air kosong untuk hilangkan panas dalam badan. Ia dapat membantu," kata peminat.
Pelakon drama terbaru Awak Suka Saya Tak ini kerap dilihat menglami pelbagai masalah kesihatan sejak awal tahun ini.
Pada Januari lalu, Emma telah dikejarkan ke hospital setelah mengalami sakit perut yang serius dan doktor mengesahkan dia dijangkiti virus.
Ia menyebabkan dia terlantar di hospital pada bulan April lalu selama beberapa hari.