Ramai tidak mengetahui bintang James Bond, Daniel Craig pernah membawa watak First Order Stormtrooper dalam filem Star Wars: The Force Awakens pada 2015.
Dalam satu babak, pelakon asal Liverpool, England ini mengawasi Rey, lakonan Daisy Ridley yang menggunakan kuasa minda untuk mengarahkan Stormtrooper itu membuka ikatannya seterusnya meninggalkan bilik kurungan.
Lakonan Craig itu ‘terbongkar’ ketika dia menghadiri program bual bicara The Late Show With Stephen Colbert, baru-baru ini.
Menurut Craig, dia secara peribadi meminta pembantu pengarah Star Wars, Ben Dixon untuk memberinya peluang berlakon dalam filem popular itu.
“Penggambaran Star Wars dilakukan di Studio Pinewood yang turut menjadi lokasi sama filem James Bond: Spectre. Pada masa sama, ramai kru Star Wars turut terbabit dengan pembikinan Spectre.
“Saya mengenali Dixon kerana sudah lama bekerjasama dengannya dan pada masa sama, perlu bertemu dengannya untuk mengadakan beberapa perbincangan,” katanya.
Menurutnya, Dixon memberitahu dia seronok terbabit dalam pembikinan Star Wars dan bekerjasama dengan pengarah JJ Abrams.
“Kemudian saya bertanyakan Dixon sekiranya boleh berlakon dalam Star Wars. Selepas berbincang dengan Abrams, Dixon bertanyakan saya sekiranya mahu berlakon sebagai Stormtrooper,” katanya.
Dalam perkembangan lain, timbul khabar angin mengatakan perisik 007 mungkin menamatkan zaman bujangnya dan meninggalkan MI6 dalam siri baru James Bond.
Sumber memberitahu Page Six, perisik itu akan menamatkan khidmatnya sebagai perisik namun kembali semula bertugas selepas isterinya meninggal dunia.
“Bond jatuh cinta kemudian berkahwin. Bagaimanapun, isterinya dibunuh menyebabkan lelaki itu menyertai semula MI6 untuk membalas dendam,” katanya.
Dalam Spectre, Bond menjalin hubungan dengan Dr Madeleine Swann dan wanita itu dikatakan bakal menjadi isterinya dalam siri baru akan datang.
Namun, Bond pernah mempunyai isteri dalam siri On Her Majesty’s Secret Service pada 1969 dan pasangan berkenaan hanya bahagia seketika sebelum wanita itu ditembak.