Selepas 13 tahun berkecimpung dalam arena seni, niat untuk putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidup penyanyi, Bob AF.
Tanpa lagu hit sejak beberapa tahun lalu, rezeki Bob nampaknya tidak pernah surut.
Terbaharu, Bob 'bolos' senarai 12 finalis program realiti, AF Megastar yang menyaksikan dirinya bersaing dengan beberapa nama yang pernah dilahirkan di pentas AF seperti Syamel, Idayu dan Adira.
"Saya masih berjuang di arena seni meneruskan survival dengan cara tersendiri. Alhamdulillah, tawaran membuat persembahan sentiasa ada. Selain di ibu negara, saya sering 'terbang' ke negeri kelahiran, Sarawak atas undangan menyanyi.
"Kalau hendak kata saya berputus asa apabila bakat tak dipandang, semua itu saya ketepikan. Perasaan itu sudah terhakis.
"Dulu-dulu iya, memang selalu rasa macam itu. Sekarang ini, saya redah saja. Saya menyanyi pun kerana suka buat. Saya bekerja sebagai penyanyi dan penghibur," katanya kepada BH Online.
Akui penyanyi lagu Cinta Seorang Teman itu, dia enggan mengalah.
"Saya sentiasa fikir untuk menghasilkan produk baharu. Kali terakhir pada 2013, saya ada single berjudul Jangan Jangan. Kemudian Ramadan lalu, saya dengan Fazli Zainal berduet menerusi lagu kerohanian, Kurnia," katanya.
Bob berkata, dia menguruskan syarikat pengurusan acara, Bob Mesra Entertainment sejak 2007.
"Saya juga mengajar vokal secara perseorangan dan untuk kumpulan koir," katanya.