Pasangan Aliff Aziz dan Bella Astillah meraikan ulang tahun pertama perkahwinan dengan menikmati makan malam serta bertukar hadiah di sebuah lokasi di ibu negara, malam tadi.
Biarpun tarikh sebenar ulang tahun perkahwinan mereka adalah 9 September lalu, Aliff dan Bella yang berikrar terus setia, berkongsi kenangan dengan memuat naik beberapa foto di laman Instagram.
Melalui coretan mengiring status dimuat naik, ibu bapa kepada Mohamad Ayden Adrean, berusia dua bulan itu menjadikan kontroversi melanda rumah tangga mereka, baru-baru ini, sebagai azimat untuk terus melayari bahtera perkahwinan.
Dalam perkongsian itu, Aliff meluahkan:
"Ini tahun yang penuh cinta, cabaran dan turun naik. Paling mencabar apabila kontroversi itu diperhatikan masyarakat.
"Tetapi saya sangat bersyukur dan dirahmati kerana memiliki wanita hebat yang dipanggil isteri. Isteri sangat kuat, penyabar, penyayang dan ada belas kasihan. Isteri juga bijak berdikari dan tahu apa yang dia mampu lakukan dalam hidup ini.
"Selamat ulang tahun perkahwinan pertama sayang. Untuk tahun mendatang yang lebih indah dan menyeronokkan," katanya.
Akhir Julai lalu, Aliff terpalit kontroversi apabila didakwa mengasari Bella yang 'menyerang' suaminya yang ketika itu bersama aktres, Afifah Nasir di sebuah pusat karaoke di Cheras.
Bagaimanapun, kisah panas itu reda apabila Aliff tampil memohon maaf sambil ditemani Bella yang baru melahirkan anak, dalam sidang media.
Bella juga menulis panjang lebar meluahkan isi hatinya sebagai wanita dan isteri yang diuji ketika masih berpantang.
"Dalam setiap perkahwinan kita pasti merasai kepahitan selain kemanisan. Susah, senang, kebahagiaan dan kedukaan pasti akan singgah dalam kehidupan kita. Sama ada kita reda atau sebaliknya.
"Sebagai isteri, saya akan menjaga tingkah laku dan maruah. Jika kita ingin dihormati, cerminlah diri kita dan lihat diri kita. Wanita harus menjaga maruah dan jadi lebih 'mahal' yakni sukar didekati orang asing sembarangan, sopan santun dan baik budi bahasa," katanya.
Bella juga mengingatkan diri sendiri dan Aliff mengenai perlunya mereka mempertahankan keharmonian rumah tangga.
"Pertahankan perkara yang sudah halal dan milik kita. Ingatlah bahawa apa yang kita lakukan pada orang lain, akan berbalik pada diri kita.
"Pihak yang menerima balasan barangkali pada dirinya atau ahli keluarga lain. Kalau tidak terbalas, maka pembalasan tidak diampun dan akan terjadi di alam seterusnya... Wallahulam.
"Kepada suami, saya harap awak lebih matang. Sama-samalah kita jaga 'masjid' yang dibina biarpun ada yang ingin menggoyahkan.
"Lakukan perkara yang baik dan dekatkan diri dengan Allah. Insya-Allah akan dilindungiNya... Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.