Berusaha mendapatkan zuriat, penyanyi, Atilia Haron dan suami mahu mencuba teknik in-vitro (IVF) selewat-lewatnya awal tahun depan.
Mengaku sudah mencuba pelbagai cara termasuk perubatan Cina, Atilia, 43, bagaimana sedar kos untuk membiayai IVF tinggi.
"Hendak buat IVF ini mahal. Kebarangkalian sama ada jadi atau tidak, belum pasti.
"Bagaimanapun, saya dan suami mahu terus berusaha," katanya kepada BH Online.
Atilia dan suaminya, Adam Sofian Mazlan, meraikan ulang tahun ketiga perkahwinan mereka pada 31 Ogos lalu.
Atilia yang baru melancarkan album solo ketiga berjudul No 3, memberitahu, doktor mengesahkan dia dan suami tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan anak.
"Cuma, rezeki belum menyebelahi kami. Risau juga dengan usia sekarang. Macam-macam ikhtiar sudah dilakukan.
"Saya pernah mencuba perubatan Cina seperti diminta meminum air akar kayu. Memang tak tahan pahitnya, tetapi saya kena gagahkan juga. Sebulan meminumnya, tak jadi juga," katanya.
Atilia berkata, doktor ada memaklumkan tubuhnya bukan seperti wanita berusia 40-an.
"Mungkin ini disebabkan saya aktif melakukan senaman dan yoga," katanya.